Wabak Chikungunya di Melaka terkawal

Low Chee Leong
Low Chee Leong
A
A
A
MELAKA - Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Low Chee Leong mengesahkan hanya sembilan kes wabak Chikungunya di laporkan di negeri ini, setakat 6 Februari lalu.

Menurutnya, kawasan yang diisytiharkan terbabit hanya di Taman Dato Abdul Aziz, di Umbai, Jasin, pada 23 Januari lalu dan jelasnya sehingga hari ini tiada kes terbaharu dilaporkan dan berada dalam keadaan terkawal.

"Sembilan individu berkenaan berusia antara 6 hingga 56 tahun dan mereka disahkan mengalami wabak Chikungunya selepas menjalani ujian lanjut.

"Kesemua pesakit bagaimanapun sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan kini dikuarantin tujuh hari di kediaman masing-masing," katanya pada sidang media di Taman Malim Jaya, di sini.

Chee Leong berkata, tindakan kawalan dan pencegahan wabak di sekitar tempat pembiakan sudah dilakukan dengan penyemburan kabus sebanyak tiga pusingan.

"Jabatan kesihatan juga turut mengeluarkan 25 kompaun dan tiga notis kebersihan kepada penduduk selepas didapati keadaan persekitaran mereka tidak memuaskan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan perkara tidak sahih mengenai kejadian," katanya.

Beliau berkata, wabak ini disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi.

"Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di Taman Dato Abdul Aziz dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan: