X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 boleh akibatkan lelaki mandul

Kehadiran reseptor ACE2 pada testikel menjadikan sel organ pembiakan lelaki berpotensi menjadi sasaran jangkitan Covid-19. - Foto: Agensi
A
A

LONDON - Covid-19 boleh menimbulkan 'ancaman global' terhadap potensi kesuburan lelaki.

Amaran itu dibuat saintis antarabangsa berdasarkan laporan kajian terbaharu diketuai Assam University di India diterbitkan menerusi Royal Society Open Biology pada Rabu yang menggariskan kesan buruk wabak tersebut.

"Hipotesis itu mendapati jangkitan SARS-CoV-2 turut menyasarkan sistem pembiakan lelaki dan penemuan itu juga disokong beberapa bukti awal. Kajian sebelum ini menunjukkan golongan lelaki lebih mudah dijangkiti Covid-19 berbanding wanita," ujar penulis bersama laporan kajian itu, Shubhadeep Roychoudhury.

Selain itu, laporan awal juga menunjukkan kemungkinan virus itu boleh disebarkan melalui hubungan seksual yang berpotensi menyebabkan komplikasi teruk kepada pasangan yang dijangkiti.

"Masih terlalu awal untuk memahami kesan SARS-CoV-2 terhadap kesuburan lelaki. Namun, terdapat bukti menunjukkan kemungkinan kerosakan testikel berlaku disebabkan jangkitan Covid-19.

"Ia bermula dengan serangan demam panas disusuli dengan orchitis atau radang pada testis hingga menyebabkan disfungsi," katanya.

Menurut Roychoudhury, data berskala besar diperlukan untuk mengesahkan kajian tersebut memandangkan saintis masih kekurangan maklumat untuk penyelidikan jangka panjang.

"Ujian klinikal lebih lanjut melibatkan pesakit lelaki Covid-19 pada usia reproduktif akan dapat membantu kesan jangka panjang jangkitan Covid-19 terhadap fungsi testis dan spermatogenesis.

"Ia adalah penting untuk melihat jika lelaki yang positif virus itu dan pernah mempunyai anak mengalami masalah itu atau tidak pada masa depan. Cara untuk mencari jalan penyelesaian masalah itu masih terhad sehingga kita mendapat jawapan," jelasnya lagi.

Kajian sebelum ini mendapati golongan lelaki juga adalah paling berisiko meninggal dunia akibat Covid-19 yang dipercayai ada kaitan dengan tindak balas sistem imun, genetik atau hormon seks. - Agensi

INFO

>Kajian menunjukkan tekanan berkaitan pandemik itu juga boleh memberi kesan kepada kesihatan seksual. Antara 25 dan 60 peratus lelaki mandul menderita masalah depresi dan kegelisahan pada tahap tinggi berbanding individu yang subur.

>Demam panas yang merupakan gejala paling utama Covid-19 antara punca yang boleh menyebabkan lelaki mandul selepas dijangkiti virus itu.

>Kajian itu mendapati kehadiran reseptor ACE2 (titik masuk utama Covid-19) pada testikel menjadikan sel organ pembiakan lelaki berpotensi menjadi sasaran jangkitan Covid-19.

>Terdapat juga laporan Covid-19 merosakkan sel Leydig dan Sertoli yang amat penting untuk kesihatan pembiakan dan penghasilan sperma.

>Orchitis atau radang pada testis boleh berlaku apabila sistem imun terjejas hingga menyebabkan kerosakan kekal pada sistem pembiakan.

>Covid-19 juga boleh meningkatkan tekanan oksidatif pada tubuh dan pada tahap yang tinggi ia boleh mempengaruhi bentuk, jumlah serta kemampuan sperma 'berenang'.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!