Anggota tentera antara ditahan kes samun, ragut

Antara barangan yang dirampas dari kedua-dua suspek.
Antara barangan yang dirampas dari kedua-dua suspek.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang daripadanya anggota tentera dipercayai aktif melakukan jenayah samun dan ragut di sekitar Melaka Tengah, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan dalam Op Rentap membabitkan dua serbuan berasingan di Jalan Merdeka dan Kem Terendak, Sungai Udang di sini, sekitar jam 6 petang hingga 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai terbabit dalam enam kes samun dan ragut antara 10 Disember 2018 hingga 2 Februari lalu.

Menurutnya, suspek dikatakan sering menjadikan wanita sebagai mangsa jenayah mereka termasuk kejadian terbaharu Sabtu lalu apabila suspek dipercayai bertindak menyamun seorang wanita dengan menolak dan menutup muka mangsa di hadapan sebuah rumah di Jalan Tun Perak, di sini, menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM300.

"Sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, berjaya menahan suspek berusia 18 tahun pada jam 6 petang pada 5 Februari.

"Hasil soal siasat suspek kemudian menunjukkan sebuah motosikal Honda EX5 yang didakwa digunakannya dan susulan tertangkapnya suspek pertama ia membawa kepada tangkapan kedua iaitu anggota tentera berusia 21 tahun," katanya.

Mohd Nor Yhazid berkata, hasil ujian saringan awal dilakukan turut mendapati mereka positif dipercayai methamphetamine.

"Selain motosikal turut dirampas bersama suspek adalah tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama.

Artikel Berkaitan:

"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan enam kes samun dan ragut sekitar Melaka Tengah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mereka kini direman sehingga Selasa ini (12 Febuari) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.