X

Kindly register in order to view this article
!

Ekonomi Malaysia masih dalam jajaran pemulihan

Mohd Uzir - Foto Bernama
A
A

INDEKS Pelopor (IP) Malaysia pada November 2020 mencatatkan peningkatan 7.1 peratus kepada 109.1 mata berbanding 120.1 mata pada tempoh sama tahun 2019.

IP merupakan kaedah yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend itu selari dengan pertumbuhan bulanan IP yang mencatatkan pertumbuhan 0.4 peratus pada November 2020 berbanding negatif 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Semi Konduktor (0.5 peratus) yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan.

“Meskipun prestasi IP lebih baik, namun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri terpilih untuk mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi serta pengagihan vaksin menimbulkan ketidakpastian di masa hadapan.

“Oleh itu, IP memberikan harapan bahawa ekonomi kekal berada dalam jajaran pemulihan walaupun momentum pemulihan berkemungkinan terkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia kekal meningkat secara signifikan pada bulan rujukan disokong terutamanya oleh Indeks Penjagaan Kesihatan.

Katanya, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, meningkat 0.4 peratus untuk mencapai 112.4 mata pada bulan rujukan daripada 112.0 mata pada Oktober 2020.

“Komponen utama yang mempengaruhi peningkatan adalah Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencatatkan 0.2 peratus.

"Pada masa yang sama, IS mencatatkan perubahan tahunan negatif 2.3 peratus pada November 2020 daripada negatif 2.4 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, prospek dan pertumbuhan ekonomi pada suku tahun keempat 2020 dijangka perlahan berbanding pada suku ketiga tahun 2020 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disasarkan di kebanyakan negeri untuk mengurangkan lonjakan kes pandemik.

“Susulan pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka telah disusun semula,” katanya.

Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang dibuka semula.

Maklumat lanjut berkaitan Banci Malaysia 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media social @MyCensus2020.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!