Dakwa pemberi rasuah di mahkamah

Mohd Firdaus ketika hadir pada Wacana Sinar Edisi Ke-227 bertajuk 'Rasuah busters: Kenapa rakyat perlu bangkit bersuara?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Firdaus ketika hadir pada Wacana Sinar Edisi Ke-227 bertajuk 'Rasuah busters: Kenapa rakyat perlu bangkit bersuara?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berwajib diseru agar turut mendakwa si pemberi rasuah di mahkamah bagi meranapkan sistem korupsi yang bersarang dalam masyarakat.

Bekas pesalah rasuah, Mohd Firdaus Ramlan berkata, jenayah rasuah berlaku kerana ia mempunyai satu sistem yang bermula daripada golongan bawah hingga ke peringkat atasan.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya sendiri yang terjebak dengan jenayah itu pada tahun 2009 ketika bergelar majistret di Mahkamah Majistret Kuala Krai, kes rasuah berlaku kerana ia melibatkan beberapa pihak.

"Sekiranya saya keseorangan saya tidak boleh melakukan jenayah rasuah tersebut. Keterlibatan itu boleh saya sebutkan seperti pihak A, B dan C.

"A ini siapa? A inilah watak penawar atau pemberi rasuah. A yang berjumpa B dan B maklum kepada C dan C maklumkan kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Edisi Ke-227 bertajuk 'Rasuah busters: Kenapa rakyat perlu bangkit bersuara?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Firdaus berkata, ketika itu ada pihak yang menawarkan rasuah kepadanya bagi meringankan hukuman atas kesalahan berkaitan dadah.

"Dalam kes saya, A tidak dituduh, A sebaliknya dijadikan sebagai saksi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, beliau meminta agar pihak berkuasa mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah itu agar si pemberi rasuah boleh dituduh dan dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, beliau memahami apabila kes rasuah dibawa ke mahkamah, keperluan utama adalah dari segi beban pembuktian namun perkara itu perlu ditangani.

Mohd Firdaus sebelum ini disabitkan dengan dua kesalahan rasuah dan dihukum penjara selama tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu berjalan serentak.

Bagaimanapun, keseluruhan hukuman penjara yang dijalani hanya setahun empat bulan sebelum dibebaskan dengan satu perintah parol pada 27 Mei 2014.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, selepas keluar penjara beliau terpaksa menanggung stigma yang cukup perit sebagai seorang bekas banduan.

Menurutnya, gelaran sebagai bekas banduan atas kesalahan rasuah itu memusnahkan masa depannya kerana bukan sahaja dipandang keji oleh masyarakat bahkan sukar mendapat pekerjaan walaupun memiliki kelulusan.