Masyarakat perlu bersama pupuk budaya tolak rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya menentang amalan rasuah seharusnya dipupuk dari awal lagi berdasarkan kepada pindaan Akta Belia yang mendefinisikan had umur belia sebagai 15 hingga 30 tahun.

Presiden Majlis Belia India Malaysia, Dhanesh Basil berkata, isu rasuah tidak harus dilihat sebagai satu perkara remeh kerana rasuah ibarat barah kepada sesebuah negara yang menghakis dari dalam.

"Seperti kata pepatah, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Golongan inilah (belia) yang akan membawa kesinambungan pemimpin sekarang.

"Rasuah adalah titik permulaan penyalahgunaan kuasa dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi.

"Amalan ini secara rasmi akan menghakis kebolehupayaan serta integriti sesuatu institusi. Jikalau rasuah ditangkis, kami percaya juga bahawa masyarakat India secara keseluruhannya akan diberi lebih peluang dalam sektor kerajaan dan swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Jihad untuk menghapuskan rasuah

Tambah beliau, usaha Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang menggerakkan kempen 'Rasuah Busters' di Sinar Harian adalah usaha murni untuk membanteras rasuah daripada kalangan masyarakat dan pemimpin.

Bagaimanapun katanya, usaha tersebut hanya akan memberi kesan sekiranya masyarakat bersama untuk memberi nyawa kepada inisiatif itu demi bangsa, belia dan negara yang dicintai.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, Majlis Belia India Malaysia (MIYC) berdiri bersama Belia Benci Rasuah dalam gerak kerja dan kempen untuk memerangi rasuah di negara kita Malaysia.

"Perjuangan murni ini hanya permulaaan dan kita sebagai belia harus mempelopori inisiatif ini untuk menangkis budaya rasuah yang menghapuskan negara dari dalam dan luar," katanya.