Afrika Selatan beli vaksin Covid-19 pada harga lebih tinggi

Afrika Selatan membeli vaksin Oxford-AstraZeneca pada harga AS$5.25 (RM21.19) iaitu hampir tiga kali ganda yang dibayar oleh kebanyakan negara Eropah. - Foto AFP
Afrika Selatan membeli vaksin Oxford-AstraZeneca pada harga AS$5.25 (RM21.19) iaitu hampir tiga kali ganda yang dibayar oleh kebanyakan negara Eropah. - Foto AFP
A
A
A

JOHANNESBURG - Afrika Selatan akan membeli vaksin Covid-19, Oxford-AstraZeneca pada harga hampir 2.5 kali lebih tinggi berbanding negara-negara Eropah, kata Kementerian Kesihatan negara itu pada Khamis.

Negara tersebut telah menempah sekurang-kurangnya 1.5 juta dos vaksin itu daripada Institut Serum India (SII) dan dijangka tiba pada bulan ini dan Februari depan.

Institut itu merancang mengeluarkan 100 juta vaksin Oxford-AstraZeneca sebulan selepas sebuah bangunan di ibu pejabatnya di Pune, India terbakar pada Khamis lalu sehingga mengakibatkan lima orang terbunuh.

Seorang pegawai kesihatan Afrika Selatan memberitahu kepada AFP pada Khamis bahawa setiap dos itu akan dibeli pada harga AS$5.25 (RM21.19) iaitu hampir tiga kali ganda yang dibayar oleh kebanyakan negara Eropah.

"Jabatan Kebangsaan Kesihatan mengesahkan sebut harga itu kepada kami," kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, Anbay Oillay menerusi mesej tanpa mendedahkan kenapa terdapat perbezaan harga.

Anggota-anggota EU dilaporkan membayar hanya AS$2.16 (RM8.72) untuk setiap satu dos vaksin Oxford-AstraZeneca, menurut seorang menteri Belgium yang membocorkan maklumat harga tersebut menerusi Twitter pada bulan lalu.

Hubungan dua hala antara kerajaan kaya dengan pengeluar vaksin Covid-19 telah menimbulkan kebimbangan mengenai kenaikan harga dan kekurangan bekalan untuk negara-negara berpendapatan rendah serta pertengahan.

Syarikat AstraZeneca di Perancis memberitahu kepada AFP pada bulan November tahun lalu bahawa satu dos vaksin Covid-19 keluarannya dengan Universiti Oxford ialah kira-kira AS$3 (RM12.11) dan ia akan dibekalkan untuk sebahagian besar penduduk di dunia dengan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Gergasi pengeluar ubat-ubatan itu tidak memberikan reaksi berhubung komen daripada Kementerian Kesihatan Afrika Selatan berhubung harga tersebut.

Tempahan vaksin di Afrika Selatan itu merupakan sebahagian daripada 20 juta dos yang dipercayai akan tiba pada suku pertama tahun ini.

Vaksin tersebut dihasilkan oleh Universiti Oxford dan syarikat AstraZeneca.

Syarikat AstraZeneca pula ialah pengeluar ubat-ubatan dan merupakan syarikat British-Sweden dengan ibu pejabatnya terletak di Cambridge, England. - Agensi