Kumpul komputer riba terpakai bantu pelajar susah

Anthony (dua dari kiri) menyerahkan komputer riba terpakai kepada pihak Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chan Wa untuk diagihkan kepada pelajar kurang mampu. - Foto Facebook Anthony Loke Siew Fook
Anthony (dua dari kiri) menyerahkan komputer riba terpakai kepada pihak Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chan Wa untuk diagihkan kepada pelajar kurang mampu. - Foto Facebook Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

SEREMBAN - Pejabat Ahli Parlimen Seremban mengambil inisiatif mengumpul komputer riba terpakai untuk disumbangkan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu dilakukan bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar yang kini terpaksa mengikut pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

"Saya faham bahawa ramai ibu bapa amat bimbang tahap pendidikan anak-anak mereka memandangkan sekolah masih ditutup dan tiada kepastian bila ia boleh dibuka semula.

"Walaupun kelas secara dalam talian dijalankan, bukan semua murid mempunyai peralatan komputer di rumah. Untuk merapatkan jurang digital ini, pejabat saya telah memulakan inisiatif untuk mengumpul komputer riba terpakai untuk disumbangkan kepada keluarga yang kurang mampu," katanya pada kenyataan di laman Facebook rasminya.

Jelas beliau, sejak projek itu dimulakan, hampir 500 buah komputer riba telah diserahkan melalui pihak sekolah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua sekolah di kawasan Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah untuk mengenal pasti senarai pelajar yang memerlukan bantuan komputer.

"Boleh buat permohonan di pejabat saya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing dengan menghubungi pegawai khas saya Henry Yeap di talian 016-3163898 atau emel ke mpserembwn128@gmail.com.

"Saya akan cuba untuk membantu setakat yang saya mampu," katanya.

Artikel Berkaitan: