Sukar percaya Liverpool tewas

Salah gagal memberikan impak ketika Liverpool tewas kepada Burnely di Anfield awal pagi Jumaat.
Salah gagal memberikan impak ketika Liverpool tewas kepada Burnely di Anfield awal pagi Jumaat.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui sukar mempercayai skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada awal pagi Jumaat.

Menurutnya, dia bertanggungjawab terhadap kekalahan tersebut yang sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah The Reds di laman sendiri sejak kali terakhir tewas kepada Crystal Palace empat tahun lalu.

"Kami tewas perlawanan yang dilihat cukup mustahil untuk berlaku. Namun, ia silap saya kerana tugas saya untuk memastikan semua pemain mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Tetapi, ia tidak berjaya.

"Kami mempunyai penguasaan bola yang banyak dan mencipta beberapa peluang tetapi ia tetap tidak berhasil untuk menjaringkan gol. Apabila sesuatu yang kami usahakan tidak berjaya, maka kami perlu berusaha lebih keras dan membuat tindakan lebih bagus,"katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Ashley Barnes memastikan kemenangan pertama buat Burnley di Liverpool sejak 1974 apabila menyempurnakan penalti minit ke-83 selepas dikasari penjaga gol Liverpool Alisson Becker.

Kekalahan tersebut menyaksikan Liverpool ketinggalan enam mata dibelakang pendahulu liga, Manchester United selepas 19 perlawanan.

Dalam pada itu, Klopp percaya ketumpulan jentera serangannya yang gagal menjaringkan gol menjadi faktor utama kekalahan penyandang juara EPL itu dalam perlawanan tersebut.

"Ia bukan kerana pemain tidak mencuba sebaliknya kami gagal memecahkan tembok pertahanan Burnley yang dikawal dengan baik. Mereka (Burnley) bermain dengan sistematik.

Artikel Berkaitan:

"Kami kemungkinan akan berjaya jika mampu menjaringkan gol awal, tetapi kami tidak lakukannya sekali gus memberikan kelebihan kepada lawan. Apabila kami gagal jaringkan gol, pemain akan hilang keyakinan diri.

"Namun, kekalahan ini bukanlah perkara pertama atau terakhir berlaku dalam bola sepak. Kami perlu beraksi lebih baik selepas ini. Saya yakin pemain mampu bangkit untuk perlawanan seterusnya nanti," katanya.