KPM disaran wujudkan jawatankuasa televisyen PdPR

Dr Asmah Razalli
Dr Asmah Razalli
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan jawatankuasa saluran televisyen pendidikan bagi memastikan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lebih efisyen.

Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr Asmah Razalli berkata, perkara tersebut akan menjimatkan serta tidak membebankan ibu bapa terutama kepada mereka yang bekerja dan tidak mempunyai lebihan telefon bimbit mahupun komputer riba.

Pada masa sama kata beliau, stesen televisyen nasional, swasta dan satelit boleh menyalurkan kebajikan korporat untuk mengadakan beberapa saluran khas pendidikan di televisyen.

“Kementerian Pendidikan perlu bersikap lebih empati dalam menyusun atur PdPR yang lebih mesra ibu bapa dan anak anak. Pendidikan secara integrasi yang merakam dan menyiarkan subjek dalam bentuk rakaman mampu diulang oleh pelajar dan menjimatkan masa ibu bapa terutama kepada mereka yang sibuk bekerja.

“Inilah masanya saluran satelit mahupun swasta memberi khidmat bakti kepada negara dengan membantu rangkaian Televisyen Nasional untuk menyalurkan kelas dalam talian Darjah Satu hingga Tingkatan Enam kepada semua pelajar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, Asmah berkata, melalui inisiatif tersebut data internet, keperluan membeli telefon bimbit baharu boleh dikurangkan dan ibu bapa lebih mudah menyusun jadual anak anak bagi sesi PdPR.

Tambahnya, capaian internet yang lemah khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak dapat menarik nafas lega jika sistem pembelajaran boleh dimanfaatkan secara terus dari kaca televisyen sedia ada.

“Ibu bapa terpaksa membeli telefon pintar atau komputer riba dan data internet untuk setiap anak yang bersekolah kerana amat sukar bagi mereka berkongsi peralatan itu jika kelas PdPR dilakukan secara serentak.

Artikel Berkaitan:

“Pembelajaran ini tidak begitu mesra rakyat jika ramai ibu bapa berasa terbeban untuk menyediakan data internet dan pelbagai kemudahan streaming walaupun kerajaan mengumumkan bantuan data internet.

“Pergerakan Wirawati Putra Malaysia berasa sedih dengan rungutan dan luahan ibu bapa terutama mereka yang memiliki anak ramai yang bersekolah secara serentak, golongan B40 yang kesusahan dan M40 yang bekerja keras mencari rezeki untuk menampung keperluan sekolah anak mereka,” katanya.

Terdahulu, KPM melaksanakan PdPR bermula pada Rabu bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan memandangkan negara masih berdepan penularan Covid-19 yang belum reda.

Bagaimanapun, pelaksanaan pembelajaran tersebut menimbulkan pelbagai rungutan daripada ibu bapa yang tidak mampu untuk menyediakan alat komunikasi kepada anak mereka.