X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO gesa kerajaan beri moratorium secara automatik

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO berharap kerajaan dapat mengeluarkan arahan jelas supaya pelanjutan tempoh moratorium pinjaman dapat diberikan secara automatik kepada peminjam sepanjang tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan, ia perlu dilaksanakan berdasarkan kriteria tertentu seperti sebelum ini, bukan atas penilaian dan budi bicara sepihak oleh pihak bank.

Beliau memberikan tujuh rasional ekonomi yang utama kenapa hal tersebut perlu dilakukan.

Menurutnya, berbanding PKP 1.0, rakyat hakikatnya lebih susah kerana ramai hilang pekerjaan, dipotong gaji atau dikurangkan elaun, manakala rata-rata perniagaan terjejas teruk malah gulung tikar akibat kelembapan ekonomi lantaran pandemik Covid-19.

"Oleh kerana keadaan ekonomi negara dijangkakan turut terjejas kerana pelaksanaan PKP 2.0 serta proklamasi darurat, sektor perniagaan serta industri kecil dan sederhana antara yang paling terkesan dan belum sempat pulih setelah PKP pertama, pastinya akan memberi kesan gandaan negatif kepada ekonomi.

"Walaupun moratorium diberikan sekurang-kurangnya 6 bulan pada PKP 1.0, ternyata sektor perbankan terus mencatatkan keuntungan besar pada tahun lepas. Tidak dinafikan ada sedikit penurunan keuntungan sektor perbankan, tetapi jauh sekali mengalami kerugian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, rasional ekonomi terpenting ketika krisis adalah untuk memastikan rakyat boleh terus berbelanja agar kitaran wang terus rancak bagi memastikan permintaan dalam ekonomi berkembang, sekali gus mengelakkan penguncupan ekonomi.

"Justeru, penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh masa tertentu boleh mengurangkan ketirisan keluar aliran kewangan daripada kitaran ekonomi hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menyukarkan proses pemulihan ekonomi itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, statistik berkenaan pendapatan sektor perbankan di Malaysia, kos serta keuntungan sebelum cukai bagi sektor ini sehingga enam bulan pertama tahun 2020 dapat dilihat di rajah 2.13 dalam laporan Bank Negara boleh diakses di link https://www.bnm.gov.my/fsr-2020.

Menurutnya, perlanjutan tempoh moratorium secara automatik tidak akan membawa masalah kepada pihak bank.

"Dalam laporan Bank Negara terbaru berkenaan kestabilan kewangan di bawah tajuk 'Financial Institution Soundness and Resilience' boleh diakses di laman https://www.bnm.gov.my/fsr-2020, jelas menyatakan bahawa sektor perbankan di Malaysia berada dalam kedudukan modal yang ampuh dengan ‘Aggregate Capital Buffers’ berjumlah RM121.6 billion.

"Ini bermakna, sektor perbankan pada kedudukan yang kukuh untuk menyerap sebarang tekanan dan kerugian jangka pendek," katanya.

Tambah beliau, dengan kekukuhan sektor kewangan yang punya ketahanan modal yang kuat (well capitalised), kewajaran perintah moratorium secara automatik lebih utama bagi mengurangkan tekanan ekonomi dalam sektor ekonomi benar atau 'real economy' (bukan kewangan) terutama yang melibatkan perbelanjaan kepenggunaan.

"Justeru, dengan tujuh rasional ekonomi di atas, Pemuda UMNO mengharapkan kerajaan dapat memanfaatkan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk membuat pengarahan jelas kepada pihak institusi kewangan bagi tujuan lanjutan moratorium secara automatik dengan kriteria tertentu dan bukannya diserahkan kepada budi-bicara bank semata-mata," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!