Militan IS mengaku bertanggungjawab serangan bunuh diri

Pakaian-pakaian yang terpercik darah bertaburan dalam kejadian pengeboman bunuh diri di sebuah pasar di Dataran Tayaran, Baghdad pada Khamis. - Foto AFP
Pakaian-pakaian yang terpercik darah bertaburan dalam kejadian pengeboman bunuh diri di sebuah pasar di Dataran Tayaran, Baghdad pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

BAGHDAD - Militan IS mendakwa bertanggungjawab dalam dua kejadian pengeboman bunuh diri yang menyebabkan 32 orang terbunuh dan mencederakan 110 orang di tengah Baghdad pada Khamis.

Ia merupakan serangan maut yang melibatkan jumlah paling ramai sejak tiga tahun lalu.

Dalam serangan pertama, seorang penyerang bunuh diri berpura-pusat jatuh sakit mengakibatkan orang ramai mengerumuninya sebelum dia meletupkan bahan letupan pada tali pinggangnya di sebuah pasar yang sibuk di Dataran Tayaran, kata Kementerian Dalam Negeri Iraq.

Pasar terbuka itu yang merupakan tempat jualan pakaian terpakai di gerai-gerai dikunjungi oleh orang ramai selepas sekatan akibat pandemik Covid-19 ditarik balik di seluruh negara tersebut.

Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata, pasukan keselamatan menutup kawasan terbabit apabila darah terpercik pada pakaian yang bertaburan di pasar tersebut dan anggota-anggota paramedik sibuk menyelamatkan mangsa-mangsa kejadian.

Kementerian Kesihatan berkata, mereka yang kehilangan nyawa telah terkorban di lokasi kejadian.

Menurut kementerian itu lagi, mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan teruk dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan perubatan.

Selepas tengah malam, militan IS mengeluarkan dakwaan bahawa ia bertanggungjawab dalam serangan tersebut menerusi saluran dalam taliannya.

Artikel Berkaitan:

Keganasan seperti itu merupakan kejadian yang biasa berlaku di Baghdad semasa pertempuran antara mazhab agama sebelum tentera AS menceroboh bandar raya tersebut bagi mencari senjata pemusnah besar-besaran yang didakwa terdapat di Iraq pada tahun 2003.

Militan IS kemudian menguasai hampir keseluruhan negara itu dan turut menyasarkan Baghdad.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut kalah dalam pertempuran dengan pihak berkuasa kerajaan dan sekutunya termasuk tentera Amerika Syarikat (AS) pada lewat tahun 2017 menyebabkan kejadian pengeboman bunuh diri jarang berlaku di bandar raya tersebut.

Presiden Iraq, Barham Saleh mengetuai tokoh politik di negara berkenaan mengutuk serangan bunuh diri tersebut dengan berkata, kerajaannya menentang percubaan seumpama itu bagi menjadikan Iraq tidak stabil.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AS dan Kesatuan Eropah (EU) mengutuk kejadian itu.

Pemangku Setiausaha Negara AS, Daniel Smith berkata, serangan bom itu merupakan satu perbuatan pembunuhan melibatkan ramai mangsa dan jahat serta satu peringatan bahawa keganasan masih berterusan mengancam nyawa penduduk Iraq yang tidak bersalah.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengeluarkan rayuan kepada penduduk Iraq untuk menolak sebarang percubaan bagi menyebarkan ketakutan dan keganasan yang bertujuan untuk menjejaskan keamanan, kestabilan serta kesatuan.

EU pula menganggap serangan itu sebagai kejam dan mengulangi sokongan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Iraq bagi menangani keganasan dan ekstremis. - Agensi