Malaysia ulangi komitmen terhadap pelucutan senjata nuklear

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA- Malaysia sekali lagi mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pelucutan senjata nuklear.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, negara ini turut mengalu-alukan penguatkuasaan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang bermula pada Jumaat.

"Malaysia akan terus bekerjasama secara erat dengan rakan-rakan yang lain untuk merealisasikan matlamat dunia bebas daripada ancaman senjata nuklear," katanya.

Menurutnya, Malaysia percaya bahawa TPNW adalah satu surat cara antarabangsa yang mengikat secara sah, boleh dilaksanakan dan mewujudkan norma undang-undang bahawa senjata nuklear secara mutlaknya tidak boleh diterima.

"Dengan penguatkuasaan TPNW, norma global pencegahan senjata nuklear akan dapat diperkukuhkan," katanya.

Wisma Putra berkata, TPNW akan mengubah wacana mengenai pelucutan senjata nuklear daripada perbincangan yang dikuasai oleh negara kuasa nuklear dan negara bersenjata nuklear kepada perbincangan yang lebih demokratik, saksama dan di mana semua negara mempunyai suara yang sama penting.

"Malaysia juga akan terus melibatkan diri dengan masyarakat madani dalam mempromosi kesedaran, pendidikan dan wacana mengenai pelucutan senjata nuklear, khususnya berkenaan TPNW," katanya.

Triti itu merupakan surat cara antarabangsa pertama yang sah mengharamkan senjata nuklear secara komprehensif dan berkuat kuasa selepas memperoleh pengratifikasian ke-50 pada 24 Oktober 2020 yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Triti yang telah dimeterai di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Julai 2017 melarang segala aktiviti yang berkaitan dengan senjata nuklear.

Larangan ini termasuk pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan, penempatan dan penggunaan.

TPNW turut akan mengukuhkan lagi norma bahawa senjata nuklear tidak boleh diterima sama sekali, tidak boleh digunakan, tidak boleh diancam untuk digunakan dan perlu disingkirkan dan dihapuskan dengan kadar segera.

Malaysia menandatangani TPNW sebaik sahaja ia dibuka untuk tandatangan pada 20 September 2017 dan meratifikasi Triti dua tahun kemudian iaitu pada 30 September 2020, menjadikan Malaysia sebagai negara pihak ke-46 kepada Triti tersebut.