X

Kindly register in order to view this article
!

Sanggup labur duit i-Sinar demi pelajaran anak

Shanty (berdiri, kiri) memerhatikan anak-anaknya melaksanakan tugasan semasa sesi PdPR.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ibu kepada enam cahaya mata sanggup membelanjakan wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli lima komputer riba bagi kegunaan anak-anak ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Perunding Kewangan, Shanty Nur Shaffizan Mohd Shafie, 40, berkata, dia tidak mahu menjadikan situasi pandemik sebagai penghalang kepada anak-anaknya untuk meneruskan pelajaran.

“Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan hampir RM10,000 dan sebahagiannya daripada manfaat i-Sinar selain daripada wang yang disimpan untuk menunaikan umrah.

"Walaupun pada peringkat awal, kami masih teragak-agak namun memikirkan kesukaran pembelajaran anak-anak menggunakan telefon bimbit akhirnya kami nekad,” katanya yang mempunyai anak antara satu hingga 15 tahun.

Menurutnya, dalam situasi ini, semua pihak sedang menghadapi kesukaran. Bukan sahaja ibu bapa, guru dan kerajaan tetapi psikologi anak-anak perlu diambil kira.

“Mereka juga tertekan apabila tidak boleh menjalani kehidupan kanak-kanak seperti biasa seperti ke sekolah. Oleh itu, dengan menyediakan kemudahan pembelajaran yang selesa di rumah, saya mengharapkan ia memberi semangat dan keseronokan mereka untuk belajar walaupun di dalam talian.

“Menguruskan lima orang anak untuk pembelajaran dalam talian yang dijalankan serentak dari pagi sehingga petang memang mencabar. Sebelum ini saya pernah menggunakan telefon bimbit tetapi ia agak rumit kerana ada anak-anak yang masih di sekolah rendah dan memerlukan lebih tumpuan untuk memahami pengajaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Selain itu, dek kekangan pihak sekolah untuk mengedarkan buku teks, beliau turut berbelanja dengan membeli buku teks di kedai buku.

“Saya menghargai jasa pihak kementerian yang memberikan buku teks dalam talian (e-book) tetapi kerana ia dimuat turun dalam peranti yang sama, agak sukar untuk anak-anak merujuk ketika guru sedang mengajar.

“Saya tidak menganggap ini satu pembaziran sebab kita sendiri tidak pasti bila sekolah akan dibuka semula untuk menerima buku teks. Anggap ini pelaburan jangka masa panjang demi pendidikan terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Katanya lagi, ujian yang melanda negara kini mengubah corak kehidupan termasuk sistem pendidikan.

“Pandemik Covid-19 telah menukar landskap kehidupan seharian kita. Pada awalnya, memang sukar untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu ini tetapi mahu tidak mahu kita kena hadapi juga.

“Begitu juga dengan sistem pendidikan, semuanya berubah 100 peratus dan kelas diadakan secara dalam talian. Hanya konsep pembelajaran sebegini sahaja boleh dilaksanakan bagi menjamin keselamatan semua pihak, khususnya pelajar.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak ada pilihan lain. Sebagai ibu bapa, kita kena bersedia mental dan fizikal untuk memastikan pelajaran anak-anak tidak tercicir,” katanya.

Ditanya mengenai keluhan segelintir ibu bapa mengenai proses PdPR, dia berkata, semua pihak perlu memberi ruang dan sokongan, bukan memperlekehkan usaha guru.

“Baru dua hari PdPR dilaksanakan dan semua pihak sedang belajar untuk mengadaptasi pelaksanaan baharu ini. Sepatutnya bagi sokongan kepada PdPR.

“Daripada sibuk mengkritik dan menghentam, lebih baik kita saling menyokong antara satu sama lain. Fikirkan apa yang terbaik untuk pelajaran anak-anak,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!