X

Kindly register in order to view this article
!

Balak, ekonomi dan khalifah alam

A
A

ADA konsep tersendiri apabila setiap Muslim menilai sumber alam – air, bumi, pantai, tasik, tadahan air, sungai, bukit, tanah mahupun balak di hutan. Semua itu bukan sekadar komoditi untuk dijadikan barang jualan tetapi ciptaan Tuhan yang memiliki nilai kudus dan pertanggungjawaban manusia, sesuai dihuni manusia di muka bumi.

Kalimah yang diguna dalam al-Quran ialah 'khalifatul fil ardh’ atau khalifah di muka bumi. Manusia dikaitkan dengan alam berstatus khalifah. Ertinya, sementara alam adalah untuk manfaat manusia, namun bukan untuk dieksploitasi sewenangnya. Manusia merupakan khalifah alam iaitu sebagai pemegang amanah untuk memelihara seluruh ciptaan alam flora dan fauna.

Namun, ahli ekonomi, usahawan dan segelintir pemimpin kerajaan pula memberi nilai wang kepada setiap sumber alam. Sumber bumi dianggap sumber untuk dieksploitasi, diubah dan dikomoditikan untuk manfaat ekonomi.

Kerajaan negeri sering mengguna kuasa untuk menentukan kelulusan konsesi pembalakan dan perlombongan dengan perkiraan bahawa ia adalah sumber ekonomi yang perlu dieskploitasi sebagai perolehan negeri.

Antara khalifah dan manusia yang hanya berfikir untuk meraih keuntungan, pertanggungjawaban sebagai khalifah adalah lebih utama. Manusialah yang harus mengubah cara hidup agar sesuai dengan fitrah dan keseimbangan alam supaya amanah sebagai khalifah dapat diterjemahkan.

Sebagai sebuah kerajaan, tanggungjawab lebih berat kerana kualiti alam sekitar perlu dijaga, selain kos memperbaiki kerosakan alam jauh lebih membebankan jika kerajaan hanya mementing keuntungan jangka pendek. Kerajaan perlu memikirkan model pembangunan yang tidak mengetepikan kesan jangka panjang apabila sumber alam dieksploitasi.

Apabila istilah khalifah dikait dengan individu, maka setiap insan yang dilantik memikul amanah menjaga alam akan dipersoalkan di hada-pan Pencipta nanti. Dalam al-Quran diungkap: “Aku akan menjadi khalifah di muka bumi...” (Surah Al-Baqarah ayat 30).

Manusia perlu tahu sifat alam dan bagaimana ia berfungsi. Manusia perlu tahu bagaimana berinteraksi dengan alam sebagai rakan, bukan sebagai penghancur dan perosak.

Perubahan cuaca kini sedang menunjukkan kesannya. Fenomena pemanasan global adalah realiti yang tidak dapat dinafikan. Kecairan kutub, kenaikan paras laut, banjir besar, taufan, tsunami, kemarau, gempa bumi dan wabak baharu. Semua itu bukan khayalan tetapi realiti yang mengerikan.

Kerosakan akibat kerakusan manusia menghancur keseimbangan fitrah alam. Bumi rosak dan tidak lagi mampu menampung ketamakan manusia atas nama pembangunan dan kemajuan.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2015 mendapati Malaysia adalah antara negara yang mengalami kehilangan hutan paling cepat dan tertinggi di Asia Tenggara untuk tempoh antara 2000 sehingga 2012.

Itulah persoalan yang kini menjadi krisis antara manusia dan alam. Kesan pembalakan mengakibatkan tanah runtuh, kemusnahan tadahan air, pemendapan sungai, pencemaran sungai dan banjir adalah natijah yang tidak dipeduli asal dapat meraih keuntungan maksimum.

Maka, sebab itu ada kerajaan negeri ghairah meluluskan lesen pembalakan dan perlombongan kerana yang paling utama adalah untuk keuntungan ekonomi. Politik dan rasuah menjadi kelaziman dalam meluluskan projek untuk mengeksploitasi alam.

Malaysia ada menggubal Dasar Alam Sekitar Negara (DSAN). Matlamatnya untuk membangun kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari. Pembalakan mengikut skala yang dilaksanakan di Malaysia, jika berterusan pasti akan memberi kesan kerosakan di luar kawalan.

Antara alam, ekonomi dan pertanggungjawaban sebagai khalifah, kerajaan perlu mempunyai integriti serta kekuatan moral untuk mempertahankan sekuriti alam dengan dasar yang dikuat-kuasakan dengan berkesan. Bukan sekadar retorik di atas kertas semata-mata.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!