X

Kindly register in order to view this article
!

Peranan Kamala Harris dalam pentadbiran Biden

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden (kiri) mahu Naib Presiden negara itu, Kamala Harris memberikan pandangan sebelum beliau membuat keputusan penting mengenai dasar-dasar negara itu. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Kamala Harris mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Rabu sekali gus merupakan individu pertama daripada kaum Hawa menduduki tangga kedua tertinggi dalam pentadbiran negara itu.

Harris yang berusia 56 tahun sebelum ini menjadi regu kepada Joe Biden daripada parti Demokrat yang kini ialah Presiden AS selepas memenangi pilihan raya Presiden negara tersebut pada 3 November tahun lalu.

Berikutan kejayaan Biden menumbangkan Donald Trump daripada parti Republikan sekali, Harris menjadi individu berkulit hitam pertama dan wanita pertama berketurunan India serta Asia Selatan memegang jawatan Naib Presiden.

Beliau sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama berkulit hitam menjadi peguam negeri dan wanita pertama bergelar senator di AS manakala pada Rabu lalu, Harris mendapat tepukan berdiri apabila berjalan masuk ke Dewan Senat sebagai Naib Presiden.

Parti Demokrat kini mempunyai kelebihan satu undi untuk meluluskan rang undang-undang di Dewan Senat berbanding parti Republikan apabila wanita tersebut menjadi Presiden dewan itu selepas Alex Padilla daripada parti Demokrat dipilih sebagai Senator oleh kerajaan bagi menggantikan tempat Harris.

Padilla juga mencipta sejarah sebagai penduduk berketurunan Latin yang pertama menganggotai Dewan Senat.

Gambar fail menunjukkan Dewan Senat iaitu tempat Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris menjadi Presiden dewan itu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Dewan Senat iaitu tempat Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris menjadi Presiden dewan itu. - Foto AFP

Sebelum Harris menjadi Naib Presiden, parti Republikan dan Demokrat masing-masing mempunyai 50 kerusi di dewan itu.

Selepas meletakkan jawatan Senator untuk digantikan dengan Padilla pada Isnin, Harris menulis untuk akhbar The San Francisco Chronicle bahawa beliau berhasrat untuk mengisi peranannya sebagai pemecah undi apabila dewan itu mahu meluluskan satu rang undang-undang.

Ini adalah kerana parti Republikan dan Demokrat masing-masing mempunyai 50 kerusi di dewan itu tetapi parti Demokrat mempunyai kelebihan kerana Harris boleh mengundi sebagai Presiden Dewan Senat jika undian untuk meluluskan rang undang-undang berada dalam keadaan terikat.

Harris juga menjadi wanita pertama menjadi Presiden Dewan Senat AS.

Sebelum ini, Naib Presiden yang ke-46, Dick Cheney yang juga Presiden Dewan Senat ketika AS ditadbir oleh Presiden ke-43, George W. Bush menjadi pemecah undi di dewan itu ekoran bilangan kerusi parti Demokrat dan Republikan adalah sama iaitu 50-50.

Menurut AFP, Biden yang berusia 78 tahun dijangka hanya berkhidmat untuk satu penggal sahaja menyebabkan Harris menjadi pilihan untuk memenangi pencalonan bagi mewakili parti Demokrat sebagai calon Presiden AS pada pilihan raya tahun 2024.

Pada pilihan raya 2016, bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton juga daripada parti Demokrat gagal dalam percubaannya menjadi wanita pertama menjadi Presiden AS apabila kalah kepada Trump.

Parti Demokrat turut mencatatkan sejarah apabila Barack Obama daripada parti tersebut menjadi Presiden AS yang ke-44 dari tahun 2009 hingga 2017.

Menurut penolong profesor sains politik iaitu Joshua Holzer dari Kolej Westminster dalam portal berita The Conversation, jawatan Naib Presiden secara tradisinya merupakan kedudukan yang tidak penting.

Bagaimanapun, mengikut perlembagaan AS, pemegang jawatan Naib Presiden akan dilantik menjadi Presiden jika Presiden negara itu meninggal dunia.

Pada tahun 1961, Naib Presiden yang ke-37, Lyndon Johnson menjadi Presiden AS ke-36 bagi menggantikan Presiden AS ke-35, John F. Kennedy yang mati ditembak ketika sedang menaiki kereta tidak berbumbung di Dallas pada November 1963.

Namun, menurut AFP, Biden pernah bercakap tentang pentingnya peranan Harris sebagai Naib Presiden AS bagi mendapat pandangan sebelum membuat kata putus dalam dasar-dasar pentadbiran negara itu.

Presiden AS itu menyatakan ketika menjadi Naib Presiden negara itu, beliau menjadi orang terakhir yang memberikan pandangan sebelum Obama membuat keputusan penting seperti menarik balik askar-askar AS dari Iraq.

Harris dilahirkan dalam keluarga imigran di AS. Bapanya berasal dari Jamaica dan merupakan bekas profesor ekonomi manakala ibunya berasal dari India dan memiliki tahap pendidikan sehingga ke peringkat doktor falsafah dalam bidang pemakanan.

Beliau tidak mempunyai anak tetapi menjadi ibu kepada sepasang anak tiri kepada suaminya yang juga seorang peguam, Doug Emhoff.

Emhoff akan menjadi lelaki berketurunan Yahudi pertama menjadi suami kepada seorang Naib Presiden AS. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!