Isu PdPR: NUTP gesa beri ruang kepada guru

Pembelajaran dalam talian perlu bagi memastikan anak-anak tidak terus ketinggalan dalam pelajaran. - Gambar kecil: Aminuddin
Pembelajaran dalam talian perlu bagi memastikan anak-anak tidak terus ketinggalan dalam pelajaran. - Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa semua pihak memberi ruang kepada guru bagi melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mula dilaksanakan pada Rabu.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, dalam tempoh negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 ketika ini, hanya konsep pembelajaran itu sahaja boleh dilaksanakan bagi menjamin keselamatan semua pihak khususnya pelajar.

"Kita tidak ada pilihan. Apabila keadaan persekitaran kita berkaitan Covid-19 yang begitu mengancam nyawa, jadi kita tidak ada pilihan. Kita tidak boleh buka sekolah (untuk belajar seperti biasa).

"Sekarang ini sekolah pun baru mula dan kalau kita lihat kepada konsep PdPR itu bukan semata-mata laptop, bukan sahaja gajet. Tapi lebih luas daripada itu, dia ada siaran televisyen pendidikan secara off line dan sebagainya.

"Sepatutnya sekarang ini semua patut bagi sokongan kepada PdPR. Apa-apa kelemahan (wajar) bagi cadangan, bukan mengutuk.

"Kalau hari pertama kita sudah mula hendak buat penilaian (pelaksanaan PdPR) saya rasa itu tidak adil kepada guru," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelbagai masalah yang dihadapi membabitkan guru susulan pelaksanaan PdPR itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, semua pihak perlu memberi sokongan dan kritikan yang membina bagi menambah baik pelaksanaan PdPR yang baharu dilaksanakan susulan penangguhan sesi persekolahan yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Ini katanya, semua pihak sedang belajar untuk mengadaptasi pelaksanaan yang baharu diperkenalkan itu.

"Sekarang ini kalau kita tidak mahu PdPR kita hendak apa? Takkan kita hendak guru pergi ke rumah (pelajar untuk mengajar). Itu benda yang mustahil.

"Jadi sekarang ini, itu (PdPR) sahaja yang ada. Bagi ruang kepada guru-guru dalam proses ini," katanya.