X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Malaya perlu lebih masa buat persediaan

Skuad Harimau Malaya. Foto: FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya perlu diberikan masa yang mencukupi untuk menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan Mac ini.

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad berkata, berdasarkan jadual saingan kelayakan berkenaan yang semakin hampir, masa yang ada sekarang dilihat seakan tidak mencukupi bagi mengadakan latihan berkenaan.

“Bagi saya, kita kena ambil masa yang betul-betul cukup untuk buat persediaan sebab bukan senang untuk dapatkan balik ‘momentum’ kita.

“Lagi pun, kita pun dah ‘break’ sejak November tahun lalu dan sekarang walaupun dalam tempoh pre-season (pra-musim), tetapi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita juga masih tidak dapat berlatih (dengan pasukan masing-masing), dan itu pun satu masalah juga sebenarnya.

“Oleh itu, saya merasakan masa yang ada sekarang dilihat seakan tidak mencukupi untuk mengadakan latihan,” katanya pada Rabu.

Terdahulu, pihak KBS menerusi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi ‘lampu hijau’ kepada skuad Harimau Malaya mengadakan kem latihan berpusat secara kuarantin.

Kebenaran itu turut disambut baik Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan akan segera melakukan gerak kerja bagi mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terlibat, antaranya Majlis Sukan Negara (MSN) dan kelab-kelab Liga Malaysia bagi tujuan penyediaan venue latihan dan pelepasan pemain.

Namun, masih belum ada tarikh sebenar yang dimuktamadkan bagi kem latihan berkenaan bermula.

Sementara itu Shahrul menyifatkan peluang untuk kembali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan sememangnya ditunggu-tunggu oleh kesebelasan Harimau Malaya setelah setahun tidak berbuat demikian berikutan penangguhan sesi saingan kelayakan berkenaan sejak tahun lalu.

Katanya, kebenaran daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dilihat bakal membantu dalam membentuk keserasian dalam kalangan pemain.

“Kalau diikutkan, memang dah tak sabar untuk wakili negara, sebab dari tahun lepas lagi kami sudah tidak berlatih bersama-sama.

“Saingan liga pun tamat pada November, jadi bila diberikan peluang berlatih ni bagi saya, ia sesuatu yang bagus,”katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!