X

Kindly register in order to view this article
!

Rasuah mengundang kutukan ALLAH

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

RASUAH adalah antara jenayah paling berbahaya. Akibat amalan rasuah yang berlaku, seseorang akan mengundang kutukan ALLAH dan Rasulullah.

Bukan hanya ke atas diri perasuah dan penerima rasuah, orang bertindak sebagai perantara kedua-duanya, malahan boleh mengundang musibah dan bala bencana seluruh negara.

Yang lebih menakutkan lagi jika perasuah itu dilakukan oleh penguasa di sesebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Sehingga dengan perlakuan yang tidak bermoral itu, akhirnya imej Islam menjadi buruk di mata bukan Islam.

Padahal agama Islam dengan tegas melarang keras perbuatan terkutuk itu. Sungguh banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih menyebut perkara tersebut.

Insya-ALLAH dalam kupasan bersiri bahaya rasuah ini, saya akan menulis tentang betapa bahaya jenayah rasuah ini dari segala sudut dan kesan buruknya kepada negara serta bagaimana cara paling berkesan untuk menghentikan atau paling kurang membendung rasuah menurut Islam.

Perkataan rasy-wah (rasuah) diambil daripada bahasa Arab. Ia merupakan jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang dapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan daripada pihak berkuasa atau syarikat selepas beri wang, hadiah, keraian kepada pihak itu.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), terdapat empat kesalahan utama rasuah iaitu meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyyah (22/220) mentakrifkan rasuah dengan sebarang pemberian bertujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan.

Islam mengharamkan rasuah melalui dalil yang sangat jelas dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW antaranya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” Surah Al-Maidah/5:42.

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” Surah Al-Baqarah/2:188.

Kutukan ALLAH SWT atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (HR Ahmad: 6984) dan Ibnu Majah: 2313).

Rasulullah SAW mengutuk pemberi rasuah dan penerima rasuah. (HR Ahmad; Abu Daud dan Tarmidzi) Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya. (HR Ahmad; al-Baihaqi; al-Hakim)

Jenayah berleluasa

Kaedah ilmu fiqh juga mengatakan: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat. Praktik rasuah akan memiliki dampak dan konekuensi yang luas.

Di sini saya kutipkan daripada buku Korupsi: Penyebab, Akibat dan Solusi menyebut antara akibat-akibatnya ialah: Menghancurkan keadilan di suatu negara, menciptakan masyarakat tanpa keterampilan, muncul masyarakat egois, biaya pengurusan akan meningkat, pengurusan pentadbiran menjadi bermasalah, munculnya orang jahat yang semakin parah dan menyebabkan kekayaan yang tidak merata.

Jika pemberian rasuah tidak dibendung segera akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak dan penyeludupan, malahan lebih besar daripada itu mengundang murka ALLAH dan selanjutnya menimpa musibah, balak dan wabak.

Banyak cara boleh dibuat untuk menghapus atau membendung jenayah rasuah antaranya penguat kuasa undang-undang perlu bertindak tanpa memilih bulu sama ada ia dilakukan rakyat biasa atau pembesar negara.

Selain penguatkuasaan, dalam Islam ada lagi cara yang paling berkesan untuk membendung segala jenis maksiat termasuk rasuah iaitu dengan menanamkan ke dalam jiwa rakyat khasnya para pembesar dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam negara keimanan yang mendalam terhadap ALLAH SWT.

Agamawan, mufti atau pendakwah mesti bergerak aktif menyampaikan kebenaran amar makruf atau nahi mungkar. ALLAH berfirman: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada ALLAH.” Surah Ali Imran/3:110.

Jika kerjasama antara umaraa’ (penguasa) dengan ulamak (agamawan) dijalin dengan baik secara berterusan, dengan izin ALLAH jenayah rasuah dapat dihentikan sesegera mungkin.

* Ustaz Dr Abdullah Yasin ialah Pengerusi Majlis Syura Gabung Ahli Sunnah (GASMA).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!