Aaron-Wooi Yik ketuai wakil Malaysia

Aksi Aaron dan Wooi Yik pada pusingan kedua Terbuka Thailand di Bangkok pada Khamis.
Aksi Aaron dan Wooi Yik pada pusingan kedua Terbuka Thailand di Bangkok pada Khamis.
A
A
A

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal membuat perhitungan dengan rakan senegara mereka, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada aksi suku akhir Toyota Terbuka Thailand di Impact Arena, Bangkok hari ini.

Pertemuan itu sudah pasti cukup ditunggu-tunggu Aaron-Wooi Yik selepas mereka dikecewakan V Shem-Wee Kiong pada pusingan pertama Yonex Terbuka Thailand minggu lalu.

Bagaimanapun, Aaron berkata, tiada istilah 'balas dendam' apabila mereka turun berdepan beregu profesional negara itu yang dianggap lebih berpengalaman di atas gelanggang.

"Saya dan Wooi Yik tidak mahu ambil tekanan apabila menentang V Shem-Wee Kiong esok (hari ini). Kami hanya akan fokus dengan game plan kami sendiri.

"Sama ada kami menang atau kalah, itu perkara kedua. Kami hanya mahu memperbaiki prestasi minggu lalu dan cuba mara lebih jauh pada Terbuka Thailand kali ini," katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik berjaya menempah tiket ke peringkat suku akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-12, 6-21, 21-16.

V Shem-Wee Kiong pula yang muncul naib juara Yonex Terbuka Thailand Ahad lalu melangkah ke suku akhir selepas meyingkirkan beregu tuan rumah, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-15, 16-21, 21-15.

Satu lagi beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut melepasi pusingan kedua apabila dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Niclas Nohr 8-21, 21-7, 21-17.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menyambar tiket ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso 21-18, 21-15.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-14, 21-16.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen juga mengesahkan kemaraan apabila melakar kemenangan 19-21, 21-17, 21-12 ke atas wakil Perancis, Emilie Lefel-Anne Tran.

Pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren serta dua beregu wanita - Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Pearly Tan-M Thinaah turut melepasi pusingan kedua selepas menyingkirkan lawan masing-masing.