Rancangan 100 hari Joe Biden

Biden menandatangani siri perintah eksekutif di Pejabat Oval, Rumah Putih di Washington selepas mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-46 AS pada Rabu. - Foto: AFP
Biden menandatangani siri perintah eksekutif di Pejabat Oval, Rumah Putih di Washington selepas mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-46 AS pada Rabu. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berdepan cabaran besar untuk memulihkan semula Amerika yang agak kucar-kacir di bawah pentadbiran pendahulunya, bekas Presiden Donald Trump.

Seperti pemimpin terdahulu, beliau juga mempunyai pelan 100 hari pertama selepas mengambil alih jawatan di Rumah Putih.

Beliau merancang untuk memulakan dengan perintah eksekutif untuk menangani beberapa krisis utama.

Selama hampir dua tahun, Biden, 78, sering bercerita kepada rakyat Amerika tentang rancangan beliau pada hari pertama di Rumah Putih dan 99 hari berikutnya jika impiannya untuk bergelar Presiden AS terlaksana.

Mampukah beliau menunaikan janjinya? Berikut adalah antara perubahan dijanjikan pentadbiran beliau.

HARI PERTAMA

COVID-19

Mula melaksanakan rancangan pengedaran vaksin secara efektif. (Beliau merancang untuk memastikan 100 juta dos suntikan diberikan pada 100 hari pertama pentadbiran beliau).

Artikel Berkaitan:

Mengeluarkan arahan pemakaian pelitup muka termasuk ketika menggunakan pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada inisiatif 100 hari.

Memastikan pakej rangsangan terbesar berjumlah AS$1.9 trilion (RM7.7 trilion) diluluskan Kongres untuk memulihkan negara itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

DIPLOMASI

Menyertai semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas pentadbiran Trump menarik diri daripada agensi PBB tersebut.

PENDIDIKAN

Memo dikeluarkan pada Sabtu lalu menyatakan Biden akan melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman pelajar dan faedah pinjaman pelajar persekutuan membabitkan jutaan rakyat Amerika.

ALAM SEKITAR

Menyertai semula Perjanjian Iklim Paris 2016 yang melibatkan hampir 200 negara dengan matlamat tidak terikat untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau selepas Trump menarik diri pada 2017.

Menandatangani perintah eksekutif baharu untuk memastikan AS berada di landasan bagi mencapai 100 peratus penggunaan tenaga bersih dan sifar pelepasan menjelang 2050.

PERUMAHAN

Memperluaskan sekatan terhadap langkah pengusiran dan penyitaan.

Mengarahkan Setiausaha Perumahan beliau untuk memimpin pasukan petugas bagi membuat rancangan menjadikan perumahan hak milik semua rakyat.

IMIGRESEN

Mengemukakan rang undang-undang kepada Kongres untuk memberikan hak kerakyatan kepada 11 juta imigran yang tidak mempunyai dokumen dan rang undang-undang memastikan Tindakan Penangguhan untuk Ketibaan Kanak-kanak (DACA) dikekalkan. Dasar diperkenalkan ketika era pentadbiran Presiden ke-44 AS, Barack Obama itu membenarkan kanak-kanak pelarian diberi perlindungan yang boleh diperbaharui selama dua tahun.

Mengeluarkan perintah eksekutif untuk menubuhkan pasukan petugas persekutuan bagi menyatukan semula kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa mereka di sempadan.

Membatalkan sekatan yang melarang penduduk dari negara majoriti Islam memasuki AS di bawah larangan perjalanan Muslim diumumkan pentadbiran Trump membabitkan negara; Syria, Iran, Iraq, Sudan, Libya, Somalia, Yemen, Eritrea, Nigeria, Myanmar, Kyrgyzstan dan Tanzania.

HAK TRANSGENDER

Mengembalikan semula dasar era pentadbiran Obama yang mengiktiraf hak identiti pelajar transjantina dan akses kepada kemudahan sesuai dengan ‘identiti’ mereka dan larangan penyertaan individu transgender dalam tentera AS yang dilarang pentadbiran Trump.

CUKAI

Menaikkan kadar cukai korporat daripada 21 peratus kepada 28 peratus sekali gus menghapuskan pemotongan cukai yang didakwa menguntungkan golongan kaya.

DUA MINGGU PERTAMA

EKONOMI

Mengukuhkan peruntukan ‘beli barangan tempatan’ seperti dinyatakan kempen beliau yang mendakwa inisiatif ‘Buy American’ itu turut melibatkan pelaburan berjumlah AS$400 juta (RM1.6 bilion).

100 HARI PERTAMA

COVID-19

100 juta suntikan dos vaksin berjaya dilaksanakan.

Memastikan kebanyakan sekolah dibuka semula dengan selamat.

EKONOMI

Biden merancang untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi satu lagi pakej bantuan merangkumi AS$1,400 (RM5,662) untuk setiap rakyat Amerika. Jumlah itu termasuk AS$400 (RM1,617) yang sudah diluluskan Kongres selepas ditandatangani Trump pada akhir Disember lalu. Memulakan rancangan pemulihan ekonomi ‘Build Back Better’.

ALAM SEKITAR

Mengadakan sidang kemuncak dunia mengenai iklim. Ia bertujuan melibatkan para pemimpin negara utama yang membebaskan gas rumah hijau untuk meyakinkan mereka bergabung dengan AS bagi mengurangkan pelepasan dalam industri perkapalan dan penerbangan global.

IMIGRESEN

Menamatkan pengisytiharan Kecemasan Negara Trump yang membolehkan beliau memindahkan dana persekutuan daripada Jabatan Pertahanan untuk membina tembok sempadan kontroversi, AS-Mexico yang mencetuskan bantahan banyak pihak.

Memulihkan dasar suaka termasuk yang dibatalkan pentadbiran Trump.

Menghentikan penahanan berpanjangan membabitkan migran yang menunggu kes perbicaraan mereka. Meningkatkan sumber kerajaan untuk menyokong pertubuhan dan migran yang menunggu tuntutan suaka mereka.

SENJATA API

Biden mahu melakukan penstrukturan semula agensi persekutuan untuk mengawasi undang-undang penggunaan senjata api. Beliau juga merancang untuk menarik semula perlindungan diberikan kepada pengeluar yang membolehkan rakyat Amerika menyaman industri itu jika ia digunakan untuk perbuatan jenayah. - Agensi