Bukan ingkar titah, hanya minta kaji semula: Ahmad Jazlan

Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai darurat oleh beberapa ahli Parlimen bukan bertujuan menunjukkan keingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tindakan terbabit sebenarnya menjurus kepada hak ahli Parlimen untuk meminta supaya proklamasi darurat dikaji semula.

Menurutnya, harus difahami bahawa tindakan menghantar surat berkenaan bukan mempertikaikan pengisytiharan darurat oleh Baginda, tetapi mempersoalkan nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawa kepada darurat.

“Berhak kepada Ahli-Ahli Parlimen yang ingin menghantar surat kepada Ke Bawah Duli Yang Mulia Tuanku, barang kali mereka berfikir mereka mempunyai hak yang perlu dizahirkan dalam sebuah negara demokrasi berparlimen, Raja Berpelembagaan seperti ini.

“Tidak perlu kita perbesarkan isu seperti ini kerana ianya akan menimbulkan pelbagai tanggapan, ada yang mengangkat positif dan ada yang beranggapan negatif,” katanya memetik Astro Awani pada Khamis dalam satu majlis di Machang.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, sekiranya isu berkenaan dinilai dalam konteks negatif sudah tentu ahli Parlimen dilihat ingkar terhadap titah Seri Paduka Baginda.

Pada 12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah memperkenan proklamasi darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Bagaimanapun dua hari selepas itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan semua ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Seri Paduka Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Memetik kenyataan Anwar pada Rabu pula, surat yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menimbang semula pengisytiharan darurat bukanlah satu penderhakaan dan apa pun keputusan Agong tetap akan diterima mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan juga berkata, satu aspek positif pengisytiharan darurat ialah untuk mengekang penularan Covid-19.