Seimbangkan PdPR dan modul bercetak

Siti Nur Alisha Dania Mohd Rashdan, 12, murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) hari ini mengikuti pembelajaran dengan kaedah PdPR secara atas talian pada hari pertama sesi persekolahan tahun 2021 berikutan peningkatan kes Covid-19. - Foto Bernama, gambar kecil dari kiri: Amirul Syahir Musa, Shaharol Niza Omar
Siti Nur Alisha Dania Mohd Rashdan, 12, murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) hari ini mengikuti pembelajaran dengan kaedah PdPR secara atas talian pada hari pertama sesi persekolahan tahun 2021 berikutan peningkatan kes Covid-19. - Foto Bernama, gambar kecil dari kiri: Amirul Syahir Musa, Shaharol Niza Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Pihak sekolah disaran membekalkan modul pembelajaran bercetak bagi mengimbangi kelas maya menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang disifatkan kurang memberi impak.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubor Panjang, Shaharol Niza Omar berkata, pihak sekolah tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya pada PdPR kerana tidak semua pelajar dapat mengikutinya dengan sempurna.

Menurutnya, seeloknya bahan pembelajaran perlu seimbang antara PdPR dan bahan bercetak bagi mewujudkan suasana belajar yang lebih efektif.

“Memandangkan yuran PIBG tidak digunakan sepenuhnya tahun lalu susulan Covid-19, selain bil utiliti dapat dijimatkan, saya sarankan agar wang sumbangan itu digunakan untuk menyediakan bahan bercetak kepada pelajar, tak perlu lagi kutip bayaran tambahan untuk sediakan bahan bercetak,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Shaharol Niza berkata, ini kerana bukan semua pelajar terutama di kawasan luar bandar mendapat capaian internet yang sempurna.

“Pendang antara kawasan liputan rendah, terutama di Kubor Panjang serta kampung-kampung berdekatan. Ini menyukarkan pelajar mengikuti kelas dalam talian mengikut jadual diberikan guru. Ada sesetengah tempat tidak mempunyai liputan yang baik terutamanya kawasan pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, antara masalah yang dibangkitkan berhubung sistem PdPR adalah penumpuan kedua-dua pihak, iaitu pelajar mahupun guru agak terjejas.

“Apabila pelajar tidak bersemuka dengan guru, akan berlaku kurang penumpuan dalam pembelajaran, selain tiada komunikasi dua hala antara guru dan pelajar. Pihak guru tidak dapat menyelami masalah setiap pelajar yang sukar memahami sesuatu subjek,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dibimbangi pelajar akan ketinggalan dan minat belajar menurun apabila tidak memahami topik yang diajar secara PdPR.

“Masalah lain termasuk kelengkapan tidak mencukupi. Tidak semua keluarga berkemampuan, ada yang sebuah komputer riba atau telefon bimbit dikongsi dengan dua atau tiga anak dalam suatu masa.

Bukan semua ibu bapa celik teknologi dan kekurangan pemahaman terhadap aplikasi yang digunakan akan jejaskan proses pembelajaran,” katanya.

Amirul Syahir berkata, pembelajaran PdPR hanya sekadar perpindahan maklumat, ia tiada sentuhan tarbiah dan sentuhan pendidikan yang mendalam bagi mengoptimumkan sahsiah dalam kalangan pelajar.