Satu gajet dikongsi lima beradik ikuti PdPR

Nur Essya Qaisara, 7, (kanan) bersama kakaknya, Nur Elysia Natliyah, 9, belajar bersama-sama sementara menunggu giliran untuk belajar secara PdPR di rumah mereka di Kampung Suasa, Beaufort.
Nur Essya Qaisara, 7, (kanan) bersama kakaknya, Nur Elysia Natliyah, 9, belajar bersama-sama sementara menunggu giliran untuk belajar secara PdPR di rumah mereka di Kampung Suasa, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Satu gajet terpaksa dikongsi lima beradik. Itu keadaan yang dapat digambarkan adik-beradik berusia antara tujuh hingga 17 tahun di Kampung Suasa, di sini, selepas sesi persekolahan bermula Khamis.

Walaupun sesi persekolahan sudah bermula namun hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sahaja dibenarkan ke sekolah untuk sesi pembelajaran bersemuka.

Pelajar lain perlu mengikuti pembelajaran secara maya di rumah dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut ibu kepada lima beradik itu, Helina Hendrekus, 37, dia hanya memiliki satu telefon pintar yang terpaksa dikongsi lima anaknya termasuk yang berada di Tingkatan Lima.

"Anak saya berada di Tingkatan Lima untuk tahun ini namun terpaksa mengikuti sesi persekolahan secara PdPR kerana memberi laluan kepada pelajar SPM tahun lalu.

"Jadi dengan hanya bergantung satu telefon pintar milik saya, keutamaan diberikan kepadanya pada sesi pagi dan seterusnya akan diberikan kepada anak kedua yang berada di Tingkatan Tiga tahun ini.

"Adik-adiknya yang berada di Tingkatan Dua dan Tahun Tiga serta Tahun Satu akan bergilir-gilir menggunakan telefon pintar saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Helina, pendapatan isi rumah kurang RM1,000 setiap bulan menyebabkan dia dan suami tidak mampu menyediakan telefon pintar atau komputer riba untuk anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

Shafizul Hafizzie Mat Sawin, 15, terpaksa belajar menggunakan buku sementara menunggu giliran menggunakan telefon bimbit untuk sesi PdPR di rumah di Kampung Suasa, Beaufort.
Shafizul Hafizzie Mat Sawin, 15, terpaksa belajar menggunakan buku sementara menunggu giliran menggunakan telefon bimbit untuk sesi PdPR di rumah di Kampung Suasa, Beaufort.

"Selain tidak mampu sediakan gajet kepada anak-anak, saya juga terpaksa bergelut untuk membeli data supaya mereka dapat mengakses internet ketika belajar atau memuat turun kandungan digital serta video untuk tujuan pembelajaran," katanya.

Katanya, selain kekurangan gajet, dia juga berhadapan dengan masalah liputan internet terutama ketika cuaca kurang baik ketika ini.

"Liputan internet di kampung kami terhad dan saya terpaksa menggunakan alternatif rangkaian lain jika satu rangkaian terganggu.

"Keadaan cuaca yang kurang baik ketika ini menyebabkan rangkaian internet terganggu dan ini menyukarkan anak-anak saya mengikuti pembelajaran dalam talian," katanya.

Justeru, Helina berharap pihak berkaitan dapat memahami keadaan yang dihadapi oleh ibu bapa terutama bagi keluarga yang kurang berkemampuan dan yang tinggal di pedalaman.

"Setakat ini, pihak sekolah memahami keadaan yang dihadapi ibu bapa yang kurang berkemampuan namun untuk tempoh jangka panjang ia menyukarkan anak-anak saya sekali gus mengganggu aktiviti pembelajaran mereka.

"Jadi saya harap kerajaan akan dapat membantu supaya anak-anak dapat terus mengikuti pelajaran mereka di sekolah," katanya.