Malaysia gesa Tabung Khas ASEAN Covid-19 disegerakan

Hishammuddin semasa Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) secara maya yang dipengerusikan oleh Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof pada Khamis. - Foto Bernama
Hishammuddin semasa Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) secara maya yang dipengerusikan oleh Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersetuju dengan Brunei dalam mendesak supaya segera mempercepatkan penubuhan Tabung Khas ASEAN Covid-19 bagi memerangi pandemik itu di rantau berkenaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penubuhan tabung berkenaan diluluskan semasa Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-25 tahun lalu dengan tujuan membantu negara anggota dalam perancangan pemerolehan vaksin serta menekankan kepada pendekatan secara kolektif rantau itu bagi vaksinasi.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) secara maya yang dipengerusikan oleh Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof pada Khamis.

Beliau turut menyatakan penghargaan dan sokongan Malaysia terhadap peranan mediasi yang berkesan oleh China dalam proses tiga pihak melibatkan Bangladesh dan Myanmar dan usaha negara itu menawarkan vaksinasi kepada penduduk Rohingya pada fasa pertama program penghantaran pulang.

“Perkembangan yang positif ini sudah pasti akan meringankan situasi di wilayah Rakhine, Myanmar dan Bangladesh dan menyediakan peluang untuk pelarian kembali pulang,” katanya.

Sementara itu, dalam menegaskan kembali sokongan penuh Malaysia terhadap bidang fokus utama ASEAN pada 2021 iaitu Kesihatan Mental, Belia dalam Keamanan dan Keselamatan serta Multilateralisme, Hishammuddin berkata, walaupun terdapat banyak perbincangan mengenai kejatuhan ekonomi akibat wabak global ini, tekanan terhadap tahap kesihatan mental sukar untuk dihitung.

“ASEAN mesti menyedari dan menonjolkan masalah kesihatan mental adalah reaksi semula jadi terhadap wabak tersebut dan kerajaan kita harus bersedia menangani hal ini,” katanya.

Selaku kedudukan Malaysia sebagai negara penyelaras bagi hubungan ASEAN-Australia, Hishammuddin turut mencadangkan supaya ASEAN bekerjasama dengan Australia mengenai program kesihatan mental untuk membantu mereka yang terjejas dengan pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada negara anggota ASEAN atas kesepakatan mengesahkan Malaysia sebagai calon ASEAN untuk Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penggal 2022-2024. - Bernama