Pastikan penumpang ada kebenaran rentas daerah, negeri

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepenuhnya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun mereka perlu memastikan penumpang memiliki kebenaran sebelum melakukan perjalanan merentas sempadan daerah atau negeri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan tidak mengehadkan atau mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan atau melarang perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi, kereta sewa dan e-hailing daripada beroperasi antara daerah atau negeri semasa PKP.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing dibenarkan beroperasi sepenuhnya kerana ia berada dalam perkhidmatan penting serta dibenar melakukan perjalanan merentas sempadan daerah dan negeri di bawah kategori kenderaan komersial.

"Perlu ditekankan bahawa untuk merentas sempadan daerah atau negeri, perkara yang perlu diberi pertimbangan ialah hanya penumpang yang mempunyai kebenaran dibenar melakukan perjalanan," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, pelaksanaan PKP adalah bertujuan bagi mengawal pergerakan orang ramai termasuk pemandu dan penumpang.

Justeru, Ka Siong berkata, perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing perlu memastikan bahawa penumpang masing-masing mempunyai kebenaran bagi membuktikan bahawa mereka perlu melakukan perjalanan di bawah skop yang dibenarkan sebelum merentas sempadan daerah atau negeri.

Beliau berkata, pemandu perkhidmatan teksi, kereta sewa dan e-hailing perlu membawa satu salinan dokumen sama ada dalam bentuk salinan cetak atau salinan digital sebagai bukti untuk digunakan selepas menghantar penumpang ke destinasi yang memerlukan mereka merentas sempadan daerah atau negeri.

"Ini bagi mencegah pihak tidak bertanggungjawab daripada cuba melanggar PKP untuk melakukan perjalanan merentas sempadan daerah atau negeri tanpa alasan yang dibenarkan dengan mengambil kesempatan kebenaran yang telah diberikan kepada pengangkutan awam beroperasi antara negeri," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: