X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan mohon mahkamah batal saman peguam

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan pada Khamis memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula seorang peguam berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat pada tahun lepas.

Kerajaan memfailkan permohonan itu menerusi Peguam Persekutuan bagi memohon perintah bahawa saman pemula yang difailkan Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, selaku plaintif, pada 30 Oktober tahun lepas dibatalkan mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) atau (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan segala prosiding berhubung saman tersebut digantung sehingga pendengaran dan pelupusan permohonan itu.

Permohonan itu juga dibuat atas alasan bahawa saman pemula peguam terbabit adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa, menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu berkata, plaintif telah gagal mengenal pasti dalam permohonan tersebut bahawa hak umum atau persendiriannya yang telah diingkari susulan keputusan itu, atau kerugian yang dialaminya secara peribadi akibat keputusan tersebut.

Katanya, saman plaintif tidak mengandungi sebarang relief yang akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan hanya mengandungi persoalan umum dan akademik yang akan menjadikan pendengaran kes itu sia-sia serta membazirkan masa mahkamah.

"Peruntukan Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas dan nyata mengecualikan bidang kuasa mahkamah ini untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan untuk mempertikaikan atau mencabar apa-apa keputusan Al-Sultan Abdullah mengenai pengisytiharan darurat.

"Penentuan soalan-soalan (yang dibangkitkan dalam saman) tersebut tidak akan membawa apa-apa kesan ke atas keputusan tersebut (keputusan Al-Sultan Abdullah untuk tidak menerima nasihat awal Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat)," katanya.

Syed Iskandar memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, selaku defendan, yang antara lain memohon mahkamah memutuskan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri atau Kabinet menasihatkan sebaliknya.

Plaintif juga memohon mahkamah memutuskan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah terbatal serta tidak sah.

Pada 25 Oktober tahun lepas, Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini selepas mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar serta tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!