Ekosistem terancang penting bagi hab projek kereta ketiga

Mohd Redzuan Md Yusof
Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

PEMBENTUKAN ekosistem yang terancang penting bagi memastikan hab projek kereta nasional ketiga negara dapat didirikan di Melaka khususnya di Parlimen Alor Gajah, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, ini kerana ekosistem yang baik bukan sahaja dapat menarik lebih banyak pelabur malahan dapat melancar dan menjayakan pelaksanaan projek tersebut.

"Terpulang kepada kerajaan negeri Melaka bagaimana mereka hendak mewujudkan satu ekosistem yang baik untuk menjamin kelayakan negeri ini sebagai hab projek kereta nasional ketiga negara.

"Ekosistem merangkumi pelbagai aspek termasuk kemudahan dan insentif yang disediakan untuk pelabur, pekerja, kepakaran, logistik, sumber tenaga dan tarif air," katanya selepas menyempurnakan Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat Universiti Binary: Penyampaian Buku Rujukan Ujian Pencapaian Sekokah Rendah kepada pelajar tahun 6 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Peringkat Parlimen Alor Gajah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini projek kereta nasional ketiga negara khususnya permohonan Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi hab pengeluaran kereta berkenaan.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, secara asasnya Alor Gajah dilihat sebagai lokasi strategik untuk dijadikan hab pengeluaran kereta nasional ketiga negara kerana di situ juga terletaknya kilang pembuatan kereta Honda.

Beliau berkata, kawasan tersebut mempunyai banyak kelebihan atau kepelbagaian sumber khususnya tenaga pekerja berpengalaman yang boleh berkongsi ilmu atau kepakaran mereka untuk menjayakan projek berkenaan.

"Banyak kelebihan atau manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Melaka khususnya Alor Gajah terpilih sebagai hab pengeluaran kereta nasional ketiga negara terutamanya daripada aspek pembangunan ekonomi setempat dan juga negeri.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan pusat untuk memutuskannya berdasarkan penilaian atau faktor yang diambil kira terutama aspek ekosistem terlibat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini kebanyakan syarikat yang berminat untuk terlibat dalam projek kereta nasional ketiga negara adalah syarikat tempatan yang mempunyai pelbagai kepakaran atau kebolehan tersendiri dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi.

Katanya berdasarkan maklumat atau profil syarikat yang diterima, kepakaran mereka mampu membentuk satu industri kejuruteraan yang lengkap untuk merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan projek tersebut. - Bernama