PA Ahmad Said positif Covid-19

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembantu peribadi kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Mohd Khomsa Chik, 67, disahkan positif Covid-19.

Mohd Khomsa ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau menjalani ujian swab pada 18 Januari lalu di Klinik Kesihatan Batu Rakit, Kuala Nerus dan mendapat keputusan pada hari yang sama.

Menurut Khomsa, beliau kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Covid-19 di IPG Datuk Razali Ismail di Batu Rakit.

“Saya tidak menunjukkan sebarang simptom, hanya tidak sedap badan dan kurang selera makan. Saya mengambil keputusan menjalani swab test sebagai langkah berjaga-jaga kerana kes semakin meningkat.

“Isteri saya, Noriah Ali, 63, negatif dalam ujian itu tetapi menjalani kuarantin sendiri di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal ketika dihubungi berkata, beliau tetap tenang walaupun kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sejak Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Said, isteri positif Covid-19

Ahmad mengakui masih berasa kelesuan namun perkembangannya dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud yang turut positif Covid-19, sentiasa dipantau oleh pasukan perubatan.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah meminta enam orang anak dan menantu saya yang berada di Terengganu dan Kuala Lumpur menjalani ‘swab test’. Selain itu, petugas kesihatan juga sedang menjalankan siasatan, pengesanan dan saringan kontak rapat.

“Walaupun begitu, saya harap mana-mana individu yang mungkin bersama atau menjadi kontak rapat saya melakukan ujian swab test sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya juga mendoakan agar semua rakyat Terengganu dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula pada tengah malam ini, juga seluruh rakyat Malaysia yang terlibat,” katanya.

Ahmad dan Norliza sebelum ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Poliklinik Ibnusina, Kemaman pada Ahad lalu sebelum disahkan positif Selasa.