Wang RM34,500 lesap, kiriman hadiah tak dapat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penjawat awam yang bertugas di Pendang, Kedah kerugian RM34,500 akibat terpedaya dengan seorang rakan maya dari Vietnam yang dikenali melalui aplikasi 'Tagged' untuk menghantar hadiah, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, ibu kepada dua anak dari dari Tanah Merah, Kelantan itu dikatakan melakukan transaksi wang selepas hadiah yang dikirim lelaki bernama Tony Nguyen mengalami masalah cukai.

"Mangsa dikatakan berkenalan pada 9 Januari lalu dan sering berhubung melalui aplikasi 'Line' dalam tempoh perkenalan hampir dua minggu.

"Pada 15 Januari, suspek berjanji akan menghantar hadiah wang, kasut, pakaian, beg, minyak wangi, bunga dan pencuci muka sebagai tanda salam perkenalan antara mereka.

"Tiga hari berikutnya, mangsa menerima emel daripada pihak penghantaran menyatakan hadiah terbabit telah sampai ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan perlu membuat bayaran caj cukai dan caj kastam.

"Pada 18 dan 19 Januari, mangsa telah memasukkan wang melalui mesin ATM BSN Cawangan Pendang ke dalam tiga akaun secara berperingkat sehingga mencecah RM34,500," katanya.

Mangsa bagaimanapun menyedari ditipu setelah barangan yang dijanjikan tidak dihantar walaupun bayaran telah dibuat.

Menurut Elias, laporan polis dibuat di Balai Polis Pendang dan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Parcel Scam).

Artikel Berkaitan:

"PDRM Kedah mengingatkan masyarakat sentiasa berwaspada sebelum melakukan sebarang transaksi kepada individu yang tidak dikenali. Orang ramai juga diingatkan jangan mudah percaya dengan tawaran melalui media sosial," katanya.