PKP di tujuh negeri dilanjut hingga 4 Februari

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri yang sebelum ini dijadual tamat pada Selasa depan dilanjutkan hingga 4 Februari ini.

Negeri-negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas kesemua negeri berkenaan masih menunjukkan trend peningkatan kes positif harian Covid-19.

Susulan pelanjutan tempoh berkenaan, tarikh tamat kesemua negeri yang dikenakan PKP kini adalah sama, kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKP di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sehingga 20 Januari, Selangor mencatat kes kumulatif Covid-19 sebanyak 50,636 kes, Sabah (45,008 kes), Kuala Lumpur (19,411 kes), Johor (14,539 kes) dan Pulau Pinang (6,540 kes).

Sementara kes kumulatif di Kelantan sebanyak 2,387 kes, Melaka (2,370 kes), Labuan (1,919 kes) dan Putrajaya (637 kes).

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor ditamatkan mengikut jadual esok.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKPD di tempat berkenaan sejak 26 Disember lepas, sebanyak 1,585 penghuni disaring dan daripada jumlah itu 682 penghuni dikenal pasti positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Penilaian dilakukan Kementerian Kesihatan dalam tempoh berkenaan juga mendapati trend menunjukkan penurunan dan kes akhir dikesan adalah pada 15 Januari lepas dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan setakat ini,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengkaji dan meneliti perundangan yang boleh dilaksana sepanjang tempoh darurat, contohnya menaikkan kompaun kepada majikan atau individu yang ingkar SOP.

“Saya harap ia akan dipercepatkan supaya kita boleh laksana segera kerana saya lihat banyak syarikat yang ambil mudah, kompaun RM1,000 terlalu rendah bagi mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mana-mana majikan yang menyembunyikan status kes positif Covid-19 pekerja masing-masing akan diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, arahan itu juga terpakai bagi mana-mana individu yang positif Covid-19 namun tidak dilaporkan kepada pihak hospital.

Mengenai operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata polis menahan 577 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP dengan 545 dikompaun dan 32 individu direman.

“Melalui Op Benteng, 12 pendatang tanpa izin ditahan dan lima kenderaan darat dirampas. Op Benteng turut mengesan 115 bot dan kapal menerusi satu aktiviti penglihatan berdekatan perairan negara,” katanya. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Wednesday, January 20, 2021