Terkejut lihat anak digigit anjing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING – Seorang kanak-kanak lelaki cedera di betis kaki kanan selepas digigit seekor anjing ketika sedang bermain dengan beberapa rakannya di Kampung Air Kuning di sini, kelmarin.

Ibu saudara mangsa, Salamiah Abu Bakar, 50, berkata mangsa Muhammad Raqib Rayyan Mohammad Nazri, 5, sedang bermain tidak jauh dari rumahnya sebelum diserang seekor anjing pada pukul 1.30 tengah hari Khamis.

Beliau berkata dia yang berada di rumah ketika itu terdengar Muhammad Raqib dan beberapa rakannya menjerit sambil berlari kerena dikejar dua ekor anjing.

“Semasa berlari, Muhammad Raqib telah jatuh dan digigit salah seekor anjing itu. Saya menjerit menyebabkan anjing tersebut lari ke kawasan hutan berdekatan.

“Saya terus bawa Muhammad Raqib ke Klinik Kesihatan Changkat Jering untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Taiping bagi membersihkan luka di kaki kanannya,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Air Kuning di sini hari ini.

Salamiah berkata semasa kejadian Muhammad Raqib dijaga oleh neneknya Ummi Kalsom Jusuh, 72, sementara ibu dan bapanya sedang bekerja.

Beliau berkata pihak yang berkenaan perlu mengambil tindakan segera kerana bimbang anjing terbabit akan menyerang kanak-kanak lain yang bermain di kawasan itu dan khuatir dijangkiti rabies.

Sementara itu, Maziah Md Lazim, 43, berkata dia menerima panggilan telefon dari ibunya Ummi Kalsom Jusoh, 72, mengenai kejadian itu dan bergegas pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

“Saya menangis dan terkejut dengan kejadian yang berlaku pada anak bongsu saya,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Ipoh dan mempunyai dua lagi anak perempuan berumur 17 dan 14 tahun.

Maziah berkata Muhammad Raqib kini menerima rawatan susulan untuk mencuci luka serta menerima suntikan cegah wabak rabies di Klinik Kesihatan Changkat Jering sehingga lukanya sembuh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada keluarga mangsa dan kejadian itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Pada 14 Januari lalu, mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies susulan aduan daripada pemilik anjing bahawa dua ahli keluarganya digigit di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping pada 31 Disember lepas.- Bernama