Permohonan hak trafik udara meningkat 233 peratus

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) memaklumkan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) meningkat sebanyak 233 peratus pada suku tahun keempat 2020.

Peningkatan itu bagi sektor penerbangan awam Malaysia untuk tempoh 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, Mavcom telah meluluskan 93 peratus daripada 43 permohonan yang diterima bagi tempoh berkenaan.

"Sebanyak 14 ATR telah diluluskan untuk destinasi antarabangsa, sementara 26 ATR lagi diluluskan untuk destinasi domestik.

"Kadar permohonan ATR meningkat sebanyak 233 peratus berbanding 12 permohonan ATR yang diterima pada tempoh suku tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Saripuddin berkata, peningkatan tersebut disebabkan oleh pertambahan permohonan untuk perkhidmatan kargo udara berjadual dan laluan domestik baru.

Tambah beliau, daripada 40 peruntukan ATR yang diluluskan, 26 membabitkan destinasi domestik dan 14 untuk destinasi antarabangsa.

"Kelulusan ATR untuk destinasi antarabangsa termasuk empat destinasi di negara China, dua untuk destinasi Eropah, dua untuk destinasi India dan enam ATR diluluskan untuk destinasi Asia yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebanyak 17 peruntukan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (enam peruntukan), Lapangan Terbang Kota Kinabalu (lima peruntukan dan lapangan terbang domestik lain (12 peruntukan).

Pada masa sama, Malaysia Airlines Berhad menerima kelulusan tertinggi iaitu sebanyak 11 ATR, diikuti oleh AirAsia yang menerima 10 ATR, MyJet Xpress Airlines (sembilan ATR) manakala Raya Airways (enam ATR) dan Fly Firefly (empat ATR).

"Walaupun pemulihan industri penerbangan akan mengambil masa namun masih terdapat ruang untuk pertumbuhan daripada segmen kargo berkembang seiring dengan keperluan logistik," ujarnya.

Katanya, memandangkan situasi pandemik Covid-19, penangguhan sementara telah diberikan kepada syarikat penerbangan mengenai syarat pembatalan ATR secara automatik jika tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan ATR.

"Penangguhan syarat ini yang berkuatkuasa 4 Jun tahun lalu bertujuan meringankan beban pentadbiran yang dihadapi serta membolehkan syarikat penerbangan terus memegang ATR sedia ada.

Sehubungan itu, Mavcom akan terus berusaha untuk membantu memulihkan industri penerbangan Malaysia.