X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Rakyat hulur sumbangan kepada Mohamad Nor Atho'ullah

Abdul Rani menyampaikan sumbangan kepada Dr Wan Junaidi yang mewakili Menteri Kesihatan.
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Rakyat, menerusi Surau Al-Barakah pada Khamis menghulurkan sumbangan kewangan kepada Mohamad Nor Atho’ullah, 11, yang kehilangan bapanya, Allahyarham Mohamad Kamil Ghazali akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, sumbangan ikhlas berjumlah RM5,000 itu bagi mengurangkan bebanan yang dirasai keluarga adik Mohamad Nor Atho’ullah.

"Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kehidupan harian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumbangan itu disampaikan secara bersama oleh beliau dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku wakil Menteri Kesihatan.

Video Mohamad Nor Atho’ullah yang tular di media sosial baru-baru ini mendapat perhatian Bank Rakyat apabila video berkenaan memaparkan beliau kelihatan tenang selepas menerima berita pemergian bapanya ketika sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang.

Allahyarham Mohamad Kamil yang juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum meninggal dunia dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 15 Januari lalu.

Mohamad Nor Atho’ullah bersama ibunya, Norazah Aziz, dan lima lagi adik-beradiknya yang dirawat di PKRC MAEPS sebelum ini juga telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, Syed Abdul Aziz menjelaskan, Norazah dan arwah suaminya sebelum ini menyara keluarga mereka dengan berniaga di stesen minyak sekitar Kajang dan Cyberjaya.

"Oleh itu, sumbangan ini juga diharap dapat membantu Norazah untuk menjalankan perniagaannya semula dan menambah pendapatan keluarga serta bergelar usahawan,” katanya.

Semasa majlis penyerahan itu juga, bantuan bencana banjir sebanyak RM30,000 diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang mana sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan dana RM500,000 yang disediakan oleh Bank Rakyat untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas di seluruh negara.

Inisiatif itu bertepatan dengan saranan Dr Wan Junaidi dalam menggerakkan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan terus membantu golongan yang memerlukan termasuk komuniti yang terjejas akibat banjir yang melanda negara.

Sebelum ini, Bank Rakyat telah mengagihkan sumbangan sebanyak RM120,000 kepada empat negeri yang terjejas akibat banjir termasuk Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah, Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!