X

Kindly register in order to view this article
!

Inisiatif tenaga pengajar Tabika Perpaduan dipertingkatkan

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberi jaminan inisiatif dan kreativiti tenaga pengajar kelas Tabika Perpaduan dalam pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dipertingkatkan.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perkara itu sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa melalui latihan dan sokongan peralatan.

"Ini bagi memanfaatkan kemajuan teknologi dan memastikan pembelajaran murid berjalan lancar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, seramai 35,984 orang pelajar di 1,781 buah Tabika Perpaduan seluruh negara mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR pada hari pertama persekolahan.

"PdPR telah dilaksanakan secara lancar di seluruh Tadika Perpaduan melalui dalam talian atau luar talian," katanya.

Beliau berkata, daripada 1,781 buah Tabika Perpaduan, sebanyak 1,067 menggunakan PdPR secara luar talian iaitu bahan pengajaran dihantar melalui Google Classroom, WhatsApp, Telegram, emel dan platform yang sesuai.

"Sebanyak 658 buah Tabika Perpaduan mengikuti pembelajaran secara dalam talian iaitu secara langsung menerusi aplikasi Zoom, Google Meet, Webex dan seumpamanya," katanya.

Halimah berkata, hanya tiga peratus yang mewakili 56 buah tabika mengikuti pembelajaran secara pendekatan luar talian.

"Murid diberi tugasan berkaitan dengan lebih awal secara manual.

"Kaedah secara luar talian digunakan apabila terdapat kekangan capaian internet dan ketidakhadiran ibu bapa bersama semasa sesi pembelajaran berlangsung," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!