Kerajaan Pahang hulur bantuan pasca banjir

Wan Rosdy menyertai program pembersihan bersama Sukarelewan Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Bera pada Khamis.
Wan Rosdy menyertai program pembersihan bersama Sukarelewan Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, Bera pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang bersetuju membantu mangsa banjir di negeri ini melalui beberapa bentuk bantuan bagi membantu mereka menghadapi tempoh pasca banjir.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada Rabu.

Menurutnya, dalam keputusan itu, kerajaan negeri bersetuju menyediakan sejumlah peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang perlu menyewa rumah lain akibat kehilangan rumah mereka sepenuhnya dalam kejadian banjir baru-baru ini.

"Kerajaan negeri juga mempertimbangkan untuk memberi sumbangan ‘one-off’ pada kadar tertentu kepada KIR yang berdaftar dengan Pusat-pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing.

"Selain itu, rebat juga akan diberikan kepada KIR sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk bulan Januari ini," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, bagi rumah yang kehilangan sepenuhnya (total lost), rebat penuh kegunaan air diberikan kepada ketua isi rumah terbabit untuk bulan Januari dan Februari.

"Turut dipersetujui cadangan pengecualian sewa untuk bulan Januari ini kepada penyewa-penyewa di gerai-gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terkesan akibat banjir.

"Pengecualian sewa gerai-gerai PBT untuk satu tempoh sehingga gerai-gerai terbabit dipulihkan sepenuhnya selepas mengalami kerosakan teruk akibat banjir,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dikehendaki mengemaskini maklumat terperinci tentang mangsa-mangsa banjir termasuk jenis kerosakan rumah dialami.

"Ia bagi tujuan penyaluran bantuan susulan oleh kerajaan negeri, kerajaan Pusat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), serta sumbangan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

"PDT juga akan menyelaraskan usaha mengesan rumah-rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik yang rosak akibat banjir," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut bersetuju dengan cadangan mewujudkan Pusat Penempatan Serbaguna (PPS) secara kekal bagi penempatan mangsa-mangsa banjir terutamanya di daerah-daerah terkesan teruk.

"PPS ini akan terbuka kepada kegunaan aktiviti lain semasa di luar musim banjir," katanya.

Beliau berkata, melalui bantuan-bantuan yang dipersetujui itu diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir dalam mengharungi tempoh yang mencabar ketika ini.