China 'balas dendam'

Bolton (kiri) dan Pompeo antara 28 individu yang berdepan sekatan baharu China selepas penggal pentadbiran Trump berakhir pada Rabu. - Foto: Agensi
Bolton (kiri) dan Pompeo antara 28 individu yang berdepan sekatan baharu China selepas penggal pentadbiran Trump berakhir pada Rabu. - Foto: Agensi
A
A
A

BEIJING - China mengambil peluang mengenakan sekatan ke atas beberapa pegawai berpangkat tinggi yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump selepas penggal pemerintahannya di Rumah Putih berakhir pada Rabu.

Kementerian Luar turut mengumumkan senarai nama 28 individu dikenakan langkah itu termasuk bekas Setiausaha Negara, Mike Pompeo, bekas Penasihat Keselamatan Negara, Robert O'Brien dan John Bolton serta Penasihat Perdagangan, Peter Navarro, Duta AS ke PBB, Kelly Craft dan bekas Penasihat Presiden, Steve Bannon.

Di bawah sekatan itu, individu terbabit bersama keluarga mereka dilarang memasuki China, Hong Kong atau Macau atau terlibat sebarang urusan dengan Beijing.

Menurut kementerian itu lagi, kesemua individu terbabit bertanggungjawab mencetuskan konfrontasi seperti sering dilakukan pentadbiran Trump terhadap China termasuk siri sekatan, perang retorik dan tuduhan tidak berasas dilemparkan bilionair hartanah tersebut.

"Mereka terlibat merancang, mempromosikan dan melancarkan siri langkah 'tidak masuk akal' yang telah mencampuri hal ehwal dalaman Beijing, merosakkan kepentingan China dan menyinggung perasaan rakyat kami," tegas kementerian itu dalam satu kenyataan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara di bawah pentadbiran Joe Biden bagaimanapun menyelar langkah 'balas dendam' itu yang dibuat pada hari sama pelantikan Presiden ke-46 AS tersebut.

"Ia adalah keputusan yang tidak produktif dan dibuat secara sinis," kata Emily Horne.

Pada Selasa, Pompeo yang sering mencetuskan kemarahan China bertindak mengumumkan siri sekatan sebelum tempoh perkhidmatannya tamat dan turut mendakwa Beijing melakukan genosid dan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Muslik Uighur.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ia bukan pertama kali China mengenakan sekatan terhadap pegawai AS.

Pada Julai 2020, Beijing pernah mengumumkan sekatan terhadap Senator Republikan, Marco Rubio, Ted Cruz dan beberapa individu lain kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara itu. - Agensi