PdPR: Presiden UMNO terima banyak rungutan ibu bapa

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa menerima banyak rungutan daripada ibu bapa pada hari pertama semalam (Rabu) ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, ramai mengeluh kekangan yang dihadapi mereka terutama gajet tidak mencukupi untuk ibu bapa yang mempunyai anak ramai selain komputer riba atau telefon bimbit yang mereka ada masih menggunakan spesifikasi lama.

Beliau berkata, kelemahan lain ialah masalah jaringan internet terutama bagi keluarga yang menetap di kawasan pedalaman.

"Ramai mengadu di Facebook saya tentang kekangan dihadapi ibu bapa bagi membantu anak-anak mengikuti PdPR secara maya," katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi Telegram pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, rungutan masih ada walaupun pengumuman pelepasan cukai khas sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet serta pemberian percuma data 1 Gigabit.

"Mungkin kerana pengumuman itu masih belum dapat membantu sepenuhnya mereka dalam berhadapan kekangan tersebut.

"Apa yang pasti, para ibu bapa ini dalam dilema. Dibelenggu kerisauan. Tiada ibu bapa mahu lihat anak mereka ketinggalan dalam pendidikan," katanya.

Katanya lagi, permasalahan itu pernah ditimbulkan rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, tetapi tiada penyelesaian secara total sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa hari lalu saya sendiri ada bangkitkan semula kebimbangan ini, namun tiada sambutan daripada pihak berwajib.

"Dalam posting itu saya sertakan cadangan kaedah tambahan untuk memudahkan anak-anak kita mendapat akses pendidikan," katanya.

Pada Isnin lalu, Ahmad Zahid mencadangkan salah satu saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran anak-anak.

Beliau berkata, slot siaran boleh dibahagikan mengikut matapelajaran dan subjek teras untuk murid tahun 1 hingga 6 serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Menurutnya, pelajar dikehendaki mengikut jadual masa pembelajaran yang ditentukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui saluran pendidikan di televisyen itu.

"Mohon jangan ambil mudah keluhan ibu bapa ini. Anak-anak mereka juga berhak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Jika cadangan saya itu ada kewajarannya, saya pohon pihak berwajib teliti kesesuaiannya.

"Andai bermanfaat laksanakanlah. Pejam mata sahaja cadangan ini dari saya jika ia dapat membantu. Andai cadangan ini kurang manfaat, carilah jalan lain untuk membantu ibu bapa serta anak-anak ini.

"Negara perlukan generasi berilmu," katanya.