X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak peruntuk RM405 juta bantu rakyat hadapi Covid-19

Abang Johari Tun Openg
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak mengumumkan pakej kelima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) melibatkan peruntukan berjumlah RM405 juta dalam inisiatif terbaharunya untuk meringankan beban rakyat negeri itu dalam menghadapi penularan Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan khas itu akan disalurkan menerusi 11 langkah yang melibatkan pemberian diskaun, pengecualian dan penangguhan pembayaran lesen, premium tanah dan pinjaman industri kecil dan sederhana.

“Seperti dahulu, beberapa bantuan dipanjangkan lagi bagi tempoh enam bulan mulai Januari 2021 hingga Jun 2021,” katanya semasa mengumumkan pemberian bantuan khas itu pada sidang akhbar di pejabatnya pada Khamis.

"BKSS 5.0 ini melibatkan pemberian diskaun bil elektrik bulanan di antara lima peratus dan 25 peratus yang akan memanfaatkan kira-kira 642,000 isi rumah di negeri itu, selain diskaun bil air bulanan di antara 10 peratus dan 25 peratus untuk lebih 568,000 isi rumah.

“Langkah ketiga adalah (pemberian) diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai (yang) akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak berkata, pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan turut diberikan kepada peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT, di samping meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat milik kerajaan negeri.

Katanya, diskaun 25 peratus turut diberikan ke atas taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 yang disasarkan akan dapat dinikmati kira-kira 185,000 pemilik premis-premis kediaman, komersil, industri dan pegangan khas, serta diskaun 50 peratus ke atas sewa kediaman di bawah Skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) untuk manfaat 3,200 penyewa.

Beliau turut mengumumkan diskaun 30 peratus untuk pembayaran cukai tanah, pengecualian pembayaran lesen hotel dan rumah tumpangan, selain penangguhan pembayaran premium tanah untuk tahun ini, di samping penangguhan pembayaran balik Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) negeri itu.

“Kerajaan negeri berharap Pakej Bantuan Sarawakku Sayang 5.0 yang berjumlah RM405 juta ini akan membantu meringankan beban seluruh rakyat Sarawak hingga ke bulan Jun dan kita juga berharap serta berdoa agar dengan adanya vaksin, penularan Covid-19 dapat diatasi selepas Jun 2021,” katanya.

Berikutan bantuan terbaru ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM3.06 bilion untuk BKSS sejak pelaksanaan pakej pertamanya pada Mac tahun lalu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!