Dua warga Bangladesh ditahan sogok anggota polis

Lokasi SJR di Tol BKE-Kulim di mana dua buruh warga Bangladesh ditahan kerana cuba memberi suapan kepada anggota bertugas.
Lokasi SJR di Tol BKE-Kulim di mana dua buruh warga Bangladesh ditahan kerana cuba memberi suapan kepada anggota bertugas.
A
A
A

KULIM - Dua penumpang teksi warga Bangladesh ditahan kerana cuba memberi suapan sebanyak RM500 kepada anggota barisan hadapan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) tanpa permit rentas negeri dan dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua buruh yang berusia 27 dan 30 tahun itu menggunakan perkhidmatan teksi yang melalui SJR di Tol BKE-Kulim kira-kira jam 3.30 petang pada Rabu.

Menurutnya, ketika itu terdapat tiga anggota polis, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan seorang petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di SJR terbabit.

"Pemeriksaan mendapati terdapat dua penumpang warga Bangladesh yang dikatakan datang ke Kulim dengan tujuan mencari pekerjaan.

"Bagaimanapun, kedua-duanya didapati tiada permit rentas negeri dan dokumen perjalanan yang sah.

"Pada masa yang sama, salah seorang dari mereka cuba memberi suapan wang tunai berjumlah RM500 kepada anggota bertugas.

"Anggota telah memberi amaran sebanyak dua kali kepada suspek namun tetap cuba disogok supaya dilepaskan," katanya.

Tambahnya, mereka kemudian ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azhar berkata, tindakan pantas anggota dipuji dalam usaha membanteras kegiatan rasuah ketika menjalankan tugas.

"Saya berharap ia akan menjadi pembakar semangat kepada anggota dan pegawai serta agensi lain bagi memantapkan integriti dan komitmen dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan," katanya.