Jangan panik, semua akan dapat vaksin Covid-19: WHO

Seorang wanita menerima suntikan vaksin Sputnik bagi mengelak dijangkiti Covid-19 di sebuah klinik di Moscow, Rusia baru-baru ini. - Foto AFP
Seorang wanita menerima suntikan vaksin Sputnik bagi mengelak dijangkiti Covid-19 di sebuah klinik di Moscow, Rusia baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Penduduk dunia tidak perlu panik untuk mendapatkan vaksin koronavirus (Covid-19) kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, ia berusaha bagi memastikan ia akan diperoleh di seluruh dunia, kata WHO pada Rabu.

"Tidak ada seseorang pun yang perlu panik kerana anda akan mendapatkan vaksin," kata Penolong Ketua Pengarah WHO, Mariangela Simao.

"Kami telah bekerja keras untuk memastikan semua negara, penduduk mempunyai peluang untuk mendapatkan vaksin ini," ujarnya pada satu majlis media pertubuhan kesihatan itu secara langsung.

Beliau membantu Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bagi membolehkan penduduk dunia mendapat akses bagi memperoleh vaksin dan ubat-ubatan.

Simao berkata, kira-kira 50 buah negara telah memulakan kempen vaksin itu dengan lebih 40 daripadanya merupakan negara yang mempunyai pendapatan tinggi.

Usaha mengedarkan vaksin itu dilakukan oleh kemudahan Covax yang diketuai oleh WHO sebelum ini dan telah memeterai perjanjian dengan lima syarikat pengeluar vaksin bagi mengeluarkan dua bilion dos.

Ia menyasarkan untuk membekalkan vaksin kepada kira-kira 20 peratus penduduk di setiap negara yang menyertai Covax pada akhir tahun ini.

Covax yang ditubuhkan dengan penglibatan kerajaan dan pihak pengeluar vaksin adalah bagi memastikannya diperoleh oleh mereka yang amat memerlukannya.

Artikel Berkaitan:

"Kami menjangkakan kumpulan pertama dos (Covid-19) akan sampai ke negara-negara pada akhir Februari ini," kata Simao. - Agensi