Pelajar rugi RM38,000 ditipu Macau Scam

ELIAS OMAR
ELIAS OMAR
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelajar universiti awam rugi RM38,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar kakitangan Pos Malaysia dan anggota polis pada 9 Januari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 22 tahun berasal dari Baling menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku dirinya seorang pegawai Pos Malaysia cawangan Negeri Sembilan memberitahu, ada bungkusan mengandungi beberapa kad pengenalan dan kad mesin juruwang automatik yang didakwa dikirimkan mangsa dari Kedah ke Negeri Sembilan.

"Mangsa yang masih bujang diarahkan membuat laporan secara dalam talian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan panggilan disambungkan kepada seorang lelaki lain yang mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor dari IPK itu selepas mangsa menafikan tentang bungkusan tersebut.

"Kemudiannya, lelaki berkenaan memaklumkan hasil semakan nombor kad pengenalan mendapati mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Elias berkata, suspek meminta mangsa memberi nombor akaun Bank Islam miliknya dan butiran perbankan dalam talian untuk siasatan.

"Mangsa turut menerima nombor TAC sejurus mesej diterima untuk pindahan wang sebanyak RM27,000 secara berperingkat daripada akaun Bank Islam miliknya ke akaun pihak ketiga," katanya.

Tambah beliau, suspek juga mendakwa waran tangkap telah dikeluarkan dan mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak RM2,000 sehari dalam tempoh enam hari untuk mengelakkan dirinya ditahan polis.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, mangsa telah melakukan pembayaran sebanyak 11 kali transaksi berjumlah RM11,000 ke akaun Bank Islam 01014027644424 yang diberikan oleh suspek," katanya.

Katanya, mangsa menanggung kerugian RM38,000 termasuklah RM27,000 wang simpanannya dan selebihnya RM11,000 adalah wang milik ibu mangsa yang diambil tanpa pengetahuan wanita berkenaan.

Menurutnya, mangsa telah membuat laporan polis di Baling pada Rabu dan satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.