Pemain Aston Villa pertikai keputusan pengadil

Mings (kiri), mepertikaikan keputusan pengadil
Mings (kiri), mepertikaikan keputusan pengadil
A
A
A

PERTAHANAN Aston Villa Tyrone Mings menyifatkan keputusan pengadil perlawanan yang ‘membenarkan’ jaringan pembukaan Manchester City pada minit ke-79 ketika berdepan Aston Villa pada awal pagi Selasa disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal.’

Mings berkata, biarpun keputusan berkenaan didakwa ‘sah’ mengikut peraturan bola sepak, ia (keputusan) masih boleh dipertikaikan kerana pemain yang menjaringkan gol berkenaan terlebih dahulu berada pada kedudukan ofsaid.

Menurutnya, keputusan berkenaan ternyata memberikan kesan kepada aksi Villa pada keseluruhan perlawanan yang sekali gus menyaksikan City sekali lagi menjaringkan gol kedua pada penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti oleh Ikay Gundogan pada minit ke-90.

“Tak pernah pula saya mendengar adanya peraturan seperti itu, apabila pemain yang berada pada kedudukan ofsaid kemudiannya meluru ke arah kita dan merampas bola.

“Sememangnya saya patut ‘mengeluarkan’ bola itu, tetapi saya tidak tahu pula ia boleh menyebabkan keputusan seperti ini. Memang tidak masuk akal,” katanya.

Insiden pada minit ke-79 itu menyaksikan Bernardo Silva menjaringkan gol pembukaan yang cukup kontroversi apabila Rodri Hernandez yang berada pada kedudukan ofsaid meluru dan merampas bola daripada Mings sebelum melorongkannya kepada Silva untuk meledak jaringan pembukaan berkenaan.

Namun berdasarkan penerangan daripada bekas pengadil Liga Premier (PL), Dermot Gallagher, keadaan bola yang masih dalam permainan apabila dikawal Mings, membolehkan bola itu dirampas pihak lawan dan jaringan gol dikira sah.

Sementara itu, pengendali Villa, Dean Smith, dan menyaksikan dirinya turut diperintahkan meninggalkan padang kerana membantah keputusan pengadil mengakui dirinya keliru dengan keputusan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak ada kena mengena langsung dengan pemain Manchester City, tetapi ia adalah berkaitan dengan peraturan berkenaan, saya masih tidak faham dengannya.

“Seorang pemain yang berada dalam posisi ofsaid boleh menggunakan kesempatan untuk meluru dari belakang dan merampas bola.

“Bagi saya, secara keseluruhannya, bagi saya tidak ada sesiapa pun yang menyaksikan perlawanan itu bersetuju dengan gol berkenaan,” katanya.