Kementerian minta tampil jika terlibat

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad (dua, kanan) menyampaikan hadiah juara Pertandingan Memancing Putrajaya kepada Mohd Hazari Ramlan sambil disaksikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim (dua kiri) pada majlis penyampaian hadian pertandingan yang diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran Tasik Presint 1 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad (dua, kanan) menyampaikan hadiah juara Pertandingan Memancing Putrajaya kepada Mohd Hazari Ramlan sambil disaksikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim (dua kiri) pada majlis penyampaian hadian pertandingan yang diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran Tasik Presint 1 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat atau individu yang membina bangunan di tanah kerajaan di sekitar ibu negara diminta tampil secara sukarela untuk berunding dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia untuk berbincang dengan mereka yang terlibat, selain memberikan tempoh masa yang mencukupi bagi memudahkan urusan pemindahan dan sebagainya.

Katanya, terdapat banyak kes salah guna tanah kerajaan dan kebanyakannya menggunakan campur tangan politik sehinggakan ada dewan orang ramai digunakan oleh parti politik dan pendapatan itu masuk ke bahagian atau cawangan parti politik berkenaan.

"Dalam kes ini, tidak perlu tunggu untuk kementerian dedahkan. Jika rasa terlibat datang jumpa saya dan juga DBKL, kita akan uruskan kes ini dengan cara yang berbeza bergantung kepada keadaan masing-masing.

"Bagi memudahkan keadaan, datang jumpa dan ceritakan mengenai latar belakang bagaimana mendapat kebenaran membina bangunan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran tasik Presint 1, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mempunyai senarai kawasan yang terlibat dan akan membuat sidang media daripada semasa ke semasa bagi mendedahkan perkara itu.

Namun, sekiranya ada pihak yang tampil memberi kerjasama perkara itu akan lebih mudah untuk diselesaikan.

"Kita sedang melakukan siasatan secara menyeluruh kerana mungkin ada pihak yang telah mendapatkan kebenaran merancang (DO) atau persetujuan penduduk untuk membina bangunan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Khalid mendedahkan berlaku pencerobohan dua lot tanah kerajaan di Jalan Imbi dan selepas itu beliau turut mendedahkan dua lagi pencerobohan berlaku membabitkan Lot 33600 di Jalan Kuchai Jaya 1, Mukim Petaling dan Lot 27679 di Jalan Gombak, Mukim Setapak.

Mengulas isu pencerobohan tanah itu, beliau berkata, pihaknya memberi tempoh kepada kedua-dua pemilik bangunan untuk berjumpa dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian sehingga akhir Februari ini.

Pencerobohan dua lot tanah di Jalan Imbi pula, Khalid memaklumkan, pihaknya telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sama ada berlaku rasuah atau pun tidak.

"Di peringkat kementerian, kami telah berbincang dengan PTG dalam mesyuaraat Kementerian Wilayah Persekutuan serta mendapatkan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara. Untuk kes ini, susah sedikit kerana bangunan yang dibangunkan mempunyai DO walaupun tanah berkenaan bulan milik syarikat terbabit," katanya. - Bernama