X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Tujuh termasuk dua wanita geng samun diberkas

Arifai Tarawe
A
A

GOMBAK - Seramai tujuh individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Greenwood, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, tangkapan pertama membabitkan empat individu termasuk seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Taman Batu Greenwood Batu Caves pada jam 12.20 tengah malam, Isnin lalu.

"Kita merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam serbuan itu," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Arifai berkata, hasil soal siasat, dua lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah rumah di Jalan Sungai Pusu Batu 8, di sini pada jam 3.30 pagi.

"Kita merampas dua buah motosikal jenis Modenas GT 128 dan Yamaha 135 LC serta sebuah telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebilah parang panjang yang disyaki digunakan dalam kejadian kes itu di sebuah rumah di Taman Batu Greenwood pada jam 5 pagi.

"Hasil siasatan mendapati pada hari kejadian, mangsa telah terima panggilan daripada kenalannya seorang wanita ingin berjumpa dengannya berhampiran stesen minyak.

"Semasa mangsa menghampiri kenalannya di kawasan tersebut, tiba-tiba datang lima lelaki dan terus memukul mangsa," katanya.

Arifai berkata, salah seorang suspek yang bersenjatakan parang telah melibas mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri dan jari tangan mangsa.

"Motosikal mangsa jenis Yamaha 135 LC, sebuah telefon bimbit dan beg dompet turut dilarikan oleh suspek," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek berusia 24 hingga 43 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek juga mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. Tiga daripadanya masih dikehendaki bersabit kes dadah di Selayang dan Jinjang," katanya.

Arifai berkata, kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bermula Isnin sampai Jumaat.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!