Nenek didakwa bunuh, bapa tidak mengaku abai anak

Seorang wanita Indonesia didakwa membunuh cucu saudaranya yang berusia lima tahun yang juga orang kurang upaya (OKU), Disember tahun lalu.
Seorang wanita Indonesia didakwa membunuh cucu saudaranya yang berusia lima tahun yang juga orang kurang upaya (OKU), Disember tahun lalu.
A
A
A

SELAYANG - Seorang nenek warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh cucu saudaranya yang berusia lima tahun yang juga orang kurang upaya (OKU), Disember tahun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Ipzuma Ambo, 55, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ipzuma yang bekerja sebagai pembantu rumah itu didakwa dengan niat telah melakukan kesalahan membunuh kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, di sini antara jam 12.01 tengah malam, 28 Disember 2020 hingga jam 8.10 malam, 30 Disember 2020.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh diwakili peguam Suriati Che Arifin.

Mahkamah menetapkan 8 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam pada itu, bapa kandung kanak-kanak malang itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan pengabaian ke atas mangsa.

Lelaki yang berusia 34 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Artikel Berkaitan:

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan kanak-kanak berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Januari sehingga 30 Disember 2020 di rumah sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nurul Ain yang turut mengendalikan kes ini mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000.

"Tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan," katanya.

Bagaimanapun, Suriati memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Maziah Joary membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan memenuhi syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes berkenaan.

Pada 6 Januari lalu, media melaporkan, bapa dan nenek saudara kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, adalah antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak OKU itu di sebuah rumah di kampung Sungai Chinchin, Gombak di sini.

Mangsa berusia lima tahun itu dipercayai menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair otak sejak lahir menyebabkannya tidak dapat berjalan dengan sempurna.