X

Kindly register in order to view this article
!

'Pengenalan Permai harus dipuji, tapi akan ada kurangnya'

Lee Lam Thye
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan seharusnya dipuji atas pengumuman pengenalan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang sangat diperlukan bagi memerangi wabak Covid-19 dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan mendukung komuniti perniagaan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye bagaimanapun berkata, walaupun dengan pelan dan perancangan yang diumumkan itu, tidak dapat dielakkan bahawa akan ada aspek kekurangannya.

Beliau turut menyenaraikan tiga langkah untuk mengatasi masalah atau kekurangan berkenaan secara efektif.

“Tidak boleh ada ketirisan dalam pelaksanaan langkah-langkah yang ditetapkan ini, harus ada perlindungan untuk memastikan bahawa kumpulan yang memerlukan merupakan sasaran tepat, dan langkah-langkah bantuan dilancarkan tepat pada waktunya,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengenalan Permai bernilai RM15 bilion dan pakej rangsangan itu sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Menurutnya, sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Pakej Bantuan Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Permai bantu kelangsungan hidup rakyat, ekonomi

Dalam pada itu, Lam Thye turut mencadangkan beberapa perkara kepada kerajaan antaranya seperti memberikan moratorium pinjaman secara automatik kepada peminjam korporat dan individu, moratorium automatik kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan program subsidi upah yang diperbaharui bagi membantu majikan mengekalkan sebanyak mungkin kakitangan.

Beliau dalam masa sama mengharapkan agar pelepasan bantuan kewangan kepada 14,000 pemandu pelancong, 118,000 pemandu teksi, bas pelancongan dan kenderaan e-hailing yang diumumkan dalam pakej Permai dapat diperpanjangkan selagi segmen berkenaan terus tertekan.

“Aspek lain yang perlu diteliti adalah persoalan kesejahteraan mental rakyat. Banyak individu menghadapi masalah kesihatan mental akibat langsung daripada sekatan dan tekanan yang dihadapi semasa wabak tersebut.

“Perkhidmatan kaunseling dapat dilakukan dengan suntikan bantuan kewangan yang sangat diperlukan kepada Kementerian Kesihatan untuk menangani peningkatan jumlah kes.

“Peruntukan khas juga harus dipertimbangkan untuk membantu dan memotivasi pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti ‘Befrienders KL’ dan lain-lain untuk memberi kaunseling kepada mereka yang terjejas teruk oleh masalah kesihatan mental yang timbul daripada Covid-19,” katanya.

Bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian langkah-langkah bantuan yang diumumkan dalam menangani wabak berkenaan, beliau turut mencadangkan agar pihak berwajib mempertimbangkan mewujudkan laman web bagi membolehkan rakyat memberi maklum balas segera mengenai perkara tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!