Darurat: PH kemuka tiga nama sertai Jawatankuasa Khas Bebas

Anthony Loke Siew Fook, Dr Dzulkefly Ahmad, Saifuddin Nasution Ismail
Anthony Loke Siew Fook, Dr Dzulkefly Ahmad, Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mengemukakan tiga nama pemimpinnya untuk menyertai Jawatankuasa Khas Bebas bagi memberikan syor kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah berhubung pelaksanaan darurat.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Majlis Setiausaha PH pada Khamis, tiga nama dicadangkan itu ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke Siew Fook (Seremban) dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, penyertaan wakil pembangkang ke dalam Jawatankuasa Khas Bebas terbabit sama sekali tidak mengubah pendirian PH bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.

"Kami serta majoriti ahli-ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera," kata kenyataan bersama Saifuddin, Siew Fook dan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Datuk Dr Hatta Ramli pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: PH kemuka tiga nama anggotai Jawatankuasa Khas Bebas darurat

Pada Rabu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jawatankuasa Khas Bebas darurat tidak sama dengan sidang Parlimen kerana ia tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Beliau berkata, ia hanya dianggotai empat ahli Parlimen kerajaan dan tiga ahli Parlimen pembangkang.

"Kita sambut dan putuskan untuk menghantar wakil dan jawatankuasa itu adalah jawatankuasa bebas, bukan terdiri daripada kuasa eksekutif.

Artikel Berkaitan:

"Maknanya mereka akan dengar dan memberi pandangan dan pandangan itu lebih menjurus kepada pengisytiharan darurat, bila patut dihentikan dan sebagainya. Itu bukan penyelesaiannya," katanya.