FELDA, PPR kawasan berisiko dadah

Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengetuai konvoi Kembara Perdana AntiDadah bertemakan Komuniti Kita Tanggungjawab Kita pada Bulan AntiDadah Kebangsaan di Ibu Pejabat AADK hari ini.
Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah mengetuai konvoi Kembara Perdana AntiDadah bertemakan Komuniti Kita Tanggungjawab Kita pada Bulan AntiDadah Kebangsaan di Ibu Pejabat AADK hari ini.
A
A
A

KAJANG- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti penempatan Felda, Program Perumahan Rakyat dan perkampungan nelayan sebagai antara kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata usaha mendidik pemimpin komuniti di kawasan terbabit giat dilaksanakan di bawah kempen Perangi Dadah Habis-habisan (PDH) yang bertujuan memerangi najis dadah di negara ini.

"Ini bagi membolehkan mereka kenal pasti masalah dan memberi ilmu termasuk dari segi kaunseling serta (pengetahuan mengenai) pusat pemulihan," katanya kepada pemberita selepas Program Kembara Perdana Antidadah di ibu pejabat AADK, di sini hari ini.

AADK sebelum ini berkata terdapat 178 kawasan berisiko tinggi aktiviti dadah di seluruh negara. Mengulas lanjut, beliau berkata ada keperluan bagi AADK merangka modul baharu program pendidikan dan pencegahan bagi memastikan golongan remaja termasuk pelajar sekolah menjauhi dadah.

Menurutnya, langkah mendidik dan mencegah perlu dilakukan secara berterusan walaupun kes dadah dalam kalangan mereka masih terkawal. Statistik menunjukkan dari 2014 hingga tahun lalu, 3.2 peratus daripada 115,000 kes dadah yang dikesan membabitkan remaja berusia 13 hingga 18 tahun.

Peratusan itu melibatkan kira-kira 3,700 kes. Zulkifli berkata kerjasama dengan pihak seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Belia dan Sukan amat penting untuk membendung aktiviti dadah dalam kalangan pelajar.

Artikel Berkaitan:


Program kembara dua hari menuju ke Kuantan itu disertai kira-kira 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi.-Bernama