ASEAN perlu mengekang jenayah siber demi ekonomi digital: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN perlu mencari pendekatan secara kolektif untuk mengekang jenayah siber rentas sempadan, ketika rantau itu bersedia untuk muncul sebagai blok ekonomi digital yang kompetitif ketika pasca-Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucaptama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) yang diadakan secara maya, Muhyiddin berkata cabaran utama yang dihadapi kumpulan serantau dalam bidang siber adalah untuk terus berada di hadapan dalam dua bidang utama iaitu mengekang jenayah siber dan menuju kemajuan ekonomi digital.

Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia menyedari bentuk jenayah siber rentas sempadan dan cabaran untuk membawa penjenayah siber ke muka pengadilan kerana ia memerlukan pendekatan serantau yang selaras dan bersepadu.

"Dalam hal ini, negara-negara anggota ASEAN tidak lagi boleh bergerak dan bekerja secara berasingan,” katanya sempena perasmian ADGMIN1 yang bertemakan ASEAN: Komuniti Yang Dihubungkan Secara Digital di sini pada Khamis.

Beliau berkata ASEAN secara berterusan membincang dan menyuarakan sokongannya terhadap suatu set peraturan antarabangsa, norma dan prinsip dalam tingkah laku yang bertanggungjawab mengenai ruang siber dalam membina persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai.

Malaysia juga sedang menuju ke arah mencapai matlamat keselamatan dengan rancangan dan strategi komprehensif untuk menyediakan ruang siber yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan serta pada masa sama, memupuk kesejahteraan ekonomi demi kesejahteraan semua negara anggota ASEAN, kata Muhyiddin.

Agensi penguatkuasaan kebangsaan negara anggota juga harus dilengkapi dengan alatan canggih seperti keupayaan forensik digital untuk memerangi jenayah siber dan diintegrasikan sepenuhnya di seluruh rantau agar, ia benar-benar berkesan dalam menangani pencabulan undang-undang rentas sempadan.

"Tiada alasan untuk gagal. Negara-negara anggota harus mempunyai azam dan tekad berbanding sindiket jenayah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal berkaitan, Muhyiddin berkata, negara-negara anggota ASEAN mungkin boleh mempertimbangkan pengenalan undang-undang data peribadi dan hak pengguna terhadap mana-mana entiti digital di rantau ini.

Platform digital mungkin akan diminta mempunyai sikap kebertanggungjawapan yang lebih besar dengan membolehkan mereka didakwa, kecuali jika mereka dapat mengawal produk mereka.

Perdana Menteri berkata, ASEAN juga seharusnya dapat mempertimbangkan undang-undang berkaitan yang lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian melalui media digital, yang antara lain akan memaksa platform digital untuk menghapus atau/dan mengenakan hukuman atas setiap ucapan yang sengaja mempromosikan keganasan dan serangan.

"Ini tidak hanya terhad kepada gangguan dan ancaman terhadap seseorang atau individu berdasarkan bangsa, jantina, agama, orientasi seksual, kecacatan atau kewarganegaraan," tambahnya.

Muhyiddin menekankan bahawa Malaysia komited untuk menyediakan kecekapan yang lebih baik serta perhubungan kepada penduduk di seluruh rantau ini dan Malaysia juga telah diberi penghormatan untuk menyelaraskan pembangunan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) yang akan dilancarkan semasa ADGMIN1.

ADM2025, yang dibangun berdasarkan Pelan Induk ICT ASEAN 2015 dan 2020, menggabungkan usaha untuk menyokong transformasi digital bagi sektor tradisional, mewujudkan pasaran digital yang adil dan kompetitif, membina persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai, mewujudkan warga digital yang cerdas untuk muncul sebagai blok ekonomi digital yang kompetitif.

Beliau juga menegaskan bahawa mesyuatat ADGMIN1 yang berlangsung secara maya hari ini, susulan pandemik Covid-19, membuktikan kemajuan ASEAN sebagai sebuah komuniti yang berteraskan digital.

Semua 10 negara anggota ASEAN - Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam - mengambil bahagian dalam ADGMIN1 yang diadakan secara maya dari hotel Kuala Lumpur Hilton.

Mesyuarat bermula Isnin didahului Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM1).

ADGMIN1 sebelumnya dikenali sebagai Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (ASEAN TELMIN) pertama dan diadakan di Kuala Lumpur pada Julai 2001. - Bernama